Setelah UMNO Dilunyai, PKR Ajak UMNO Bergabung Di Melaka

Melaka Digest
By -
0

Politik Malaysia memang luar biasa. Hari ini seseorang boleh dibicarakan seperti pesalah dan esok rumahnya mahu disinggahi untuk menikmati asam pedas. Semalam dilunyai di pentas, hari ini diajak berkongsi gelanggang pilihan raya.


Begitulah episod terbaharu hubungan PKR dengan UMNO.

Sepanjang Kongres Nasional PKR di Melaka, UMNO dan BN beberapa kali dijadikan latar gelap kepada naratif reformasi. Pelbagai kegagalan masa lalu dibangkitkan, seolah-olah semua penyakit negara mempunyai satu alamat tetap iaitu ibu pejabat UMNO.

Polemik laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Tabung Haji turut dipautkan kepada era pentadbiran BN. Jika terdapat salah laku, siasat dan hukum sesiapa yang terbukti bersalah. UMNO sendiri menyatakan tidak akan melindungi mereka yang terlibat dalam penyelewengan atau salah urus.

Namun, mencari kebenaran melalui proses undang-undang tidak sama dengan menggunakan sebuah laporan untuk menjatuhkan hukuman politik secara pukal terhadap seluruh parti.

Belum selesai Tabung Haji, perwakilan PKR Negeri Sembilan, Mohd Shariman Che Deris, mencadangkan supaya Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, digantikan dengan individu lain. Kebetulan Asyraf bukan sahaja mengetuai MARA, malah merupakan Setiausaha Agung UMNO.

Cadangan seorang perwakilan tentunya bukan keputusan rasmi seluruh PKR. Namun, apabila ia dilontarkan dari pentas kongres tanpa penjarakan yang jelas, khalayak berhak bertanya sama ada UMNO benar-benar dianggap rakan kerajaan atau sekadar sasaran mudah untuk meraih tepukan.

Jika prestasi MARA dipersoalkan, kemukakan ukuran, audit dan bukti. Pertukaran individu tidak boleh dijadikan ubat ajaib kepada masalah institusi, lebih-lebih lagi ketika kerajaan sedang menyediakan undang-undang baharu bagi memperketat tadbir urus MARA.

Nada Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memberi gambaran bahawa politik lama itu buruk dan UMNO merupakan wajah paling mudah untuk dilekatkan padanya. Tidak salah Anwar mempertahankan reformasi. Namun reformasi kehilangan wibawa apabila sejarah digunakan secara terpilih, keras di hadapan perwakilan, lembut apabila memerlukan kerusi.

Tidak lama selepas kongres menutup tirainya, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tidak menolak kemungkinan bertemu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bagi membincangkan kerjasama menghadapi PRN.

Katanya, jika ke Melaka beliau mesti singgah ke rumah Ab Rauf dan menikmati asam pedas Mak Leha. Beliau nak tunjukkan betapa rapatnya hubungan mereka berdua.

Indah sungguh politik. Di dalam dewan, UMNO menjadi menu utama. Di luar dewan, asam pedas pula mahu dijadikan jambatan perpaduan.

Saifuddin dan Ab Rauf sememangnya boleh bertemu. Mereka rakan dalam Kerajaan Persekutuan dan komunikasi antara pemimpin ialah sesuatu yang wajar. Persoalannya ialah atas asas apakah PKR mahu bekerjasama dengan parti yang baru sahaja digambarkan begitu buruk?

Jika UMNO benar-benar seteruk naratif yang dibina, mengapa perlu dicari? Jika kepimpinannya begitu bermasalah, mengapa rumah Ab Rauf mahu disinggahi? Jika BN dianggap penyakit politik lama, mengapa menjelang PRN penyakit itu juga mahu dijadikan ubat?

PKR perlu memilih pendirian. UMNO sama ada rakan strategik yang dihormati walaupun terdapat perbezaan atau parti rosak yang tidak layak diberikan kepercayaan. Kedua-dua cerita tidak boleh dijual serentak mengikut pentas dan musim pilihan raya.

UMNO pula jangan terlalu terpesona dengan undangan makan asam pedas sehingga terlupa apa yang dihidangkan dalam kongres.

BN menguasai 20 daripada 28 kerusi DUN Melaka. Ab Rauf memimpin kerajaan dengan majoriti selesa, bukannya menunggu talian hayat daripada PH. Sebaliknya, PH perlu menjelaskan mengapa selepas menarik diri daripada pentadbiran negeri dan mengkritik UMNO di pentasnya sendiri, parti itu kini mahu membuka semula pintu kerjasama.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menetapkan bahawa kerusi yang dimenangi perlu dihormati dan sebarang pertukaran hanya boleh dibuat secara jujur serta ikhlas. Prinsip itu mesti menjadi garis dasar rundingan.

Keikhlasan bukan sekadar kesediaan duduk semeja. Ia menuntut penghormatan yang konsisten. Rakan politik tidak boleh dihina di hadapan penyokong sendiri, kemudian dicari apabila jentera dan undinya diperlukan.

Ab Rauf wajar mendengar semua pilihan kerana berunding bukan bererti menyerah. Namun sebelum kerusi dibincangkan, PKR perlu menjawab satu pertanyaan mudah, adakah UMNO benar-benar rakan yang dihormati atau sekadar pasangan sementara selepas puas dijadikan bahan tepukan?

Politik boleh menukar lawan menjadi kawan tetapi persahabatan yang hanya muncul ketika undi diperlukan bukanlah perpaduan.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)