Di atas kertas, Tabung Haji diselamatkan pada 2018. Dalam akaun negara, harga penyelamatan itu masih belum dibayar sepenuhnya. Sebahagian besar tanggungan hanya dipindahkan dari satu tarikh matang kepada tarikh baharu pada 2036.
Itulah inti di dalam satu ceramah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary yang menuntut kerajaan menjelaskan apa sebenarnya berlaku kepada komitmen berbilion ringgit di bawah Urusharta Jamaah Sdn Bhd.
Krisis tersebut bermula apabila kedudukan kewangan Tabung Haji bagi 2017 dinilai semula selepas pertukaran kerajaan. Penyata kewangan beraudit merekodkan keuntungan RM3.4 bilion. Semakan PricewaterhouseCoopers yang kemudian diperakui melalui dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja mendapati pemakaian penuh piawaian MFRS sepatutnya menyebabkan Tabung Haji merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion.
Perbezaannya bukan kecil. Daripada untung RM3.4 bilion kepada rugi RM1.4 bilion, jurangnya mencecah RM4.8 bilion.
Dapatan itu menjadi asas kepada penstrukturan besar-besaran pada penghujung 2018. Aset Tabung Haji bernilai pasaran sekitar RM9.63 bilion dipindahkan kepada Urusharta Jamaah, sebuah syarikat tujuan khas milik Menteri Kewangan Diperbadankan.
Sebagai balasan, Tabung Haji menerima pertimbangan RM19.9 bilion. Hanya RM300 juta dibayar secara tunai, manakala RM19.6 bilion diberikan melalui dua siri sukuk.
Kerajaan PH menyifatkan perbezaan kira-kira RM10.3 bilion itu sebagai kos penyelamatan. Langkah tersebut memang menutup jurang aset dan liabiliti Tabung Haji. Kunci kira-kira institusi itu kembali kelihatan sihat. Kemampuan membayar hibah juga dapat dipulihkan.
Hujahan Ahmad Marzuk membawa rakyat melihat satu lapisan yang lebih dalam. Akaun Tabung Haji mungkin telah diperbaiki, namun beban kewangannya dipindahkan kepada syarikat milik kerajaan. Risiko akhirnya tetap berada pada kerajaan dan pembayar cukai.
Aset sebenar seperti saham, tanah, hartanah dan hotel keluar daripada pemilikan langsung Tabung Haji. Sebahagian besar balasannya pula bukan wang tunai, sebaliknya janji pembayaran jangka panjang.
Empat hotel di Kota Kinabalu, Bayan Lepas, Alor Setar dan Kuala Terengganu turut dipindahkan kepada Urusharta Jamaah. Hotel berkenaan tidak ditutup dan terus beroperasi menggunakan jenama Raia Hotel. Bangunannya masih berdiri, namun Tabung Haji bukan lagi pemilik langsung.
Hak keutamaan membeli semula juga tidak menjadikan aset itu kembali secara automatik. Tabung Haji masih perlu menilai harga pasaran, kemampuan kewangan dan pulangan komersial sebelum mengambil semula aset yang pernah dimilikinya.
Ujian sebenar kepada pelan penyelamatan itu tiba pada 29 Mei 2026 apabila Sukuk Siri 1 matang dengan nilai penebusan sekitar RM12.5 bilion.
Selepas tujuh tahun menunggu, jumlah tersebut tidak ditebus sepenuhnya menggunakan wang tunai.
Sebanyak RM965 juta diselesaikan melalui pemindahan tanah di Tun Razak Exchange dan ladang di Sarawak kepada Tabung Haji. Baki RM11.5 bilion dibiayai semula melalui sukuk baharu selama 10 tahun dengan kadar kupon 3.825 peratus.
Tarikh matang berubah daripada 2026 kepada 2036.
Kerajaan boleh mengatakan sukuk lama telah diselesaikan. Urusharta Jamaah juga tidak diisytiharkan gagal membayar. Penjelasan korporat itu tidak mengubah kedudukan pokok RM11.5 bilion yang masih belum dilunaskan. Kertas lama hanya digantikan dengan kertas baharu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mempertahankan pembiayaan semula tersebut sebagai amalan biasa yang memberikan Tabung Haji aliran tunai kira-kira RM440 juta setahun. Penjelasan itu pada masa sama mengesahkan inti kritikan Ahmad Marzuk.
Kerajaan tidak menyediakan RM12.5 bilion tunai untuk menebus keseluruhan sukuk apabila tiba tarikh matang. Sebahagian besar tanggungan telah diwariskan untuk satu dekad lagi.
RCI turut merekodkan kerajaan pernah meluluskan sekurang-kurangnya RM17.8 bilion bagi menampung kekurangan Urusharta Jamaah. Jumlah itu merangkumi RM500 juta pada peringkat awal dan RM17.3 bilion melalui peruntukan pembangunan, bersamaan kira-kira RM1.73 bilion setahun.
Ketika siasatan RCI dijalankan, Tabung Haji direkodkan baru menerima RM500 juta tunai melalui struktur berkenaan. Peruntukan RM1.5 bilion yang diluluskan dalam Belanjawan 2021 pula tidak disalurkan kepada Urusharta Jamaah selepas dana kerajaan diutamakan untuk pemulihan ekonomi akibat pandemik.
Kerajaan kini perlu mendedahkan berapa banyak peruntukan tahunan benar-benar disalurkan selepas 2022. Nilai aset yang berjaya dipulihkan, aset yang sudah dijual, kerugian terkumpul Urusharta Jamaah dan sebab RM11.5 bilion terpaksa dibiayai semula juga mesti dijelaskan.
Penyelamatan sebenar bukan sekadar mengeluarkan aset bermasalah daripada kunci kira-kira Tabung Haji. Penyelamatan hanya lengkap apabila aset dipulihkan, tanggungan dilunaskan dan pendeposit tidak bergantung kepada janji pembayaran yang sentiasa dipanjangkan.
Pada 2018, kerajaan PH memperbaiki akaun Tabung Haji menggunakan kunci kira-kira kerajaan.
Pada 2026, hutang itu belum selesai.
Ia hanya diwariskan sehingga 2036.
Tabung Haji diselamatkan hari ini dengan bil yang masih menunggu untuk dibayar esok.
