KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu menerima ucapan tahniah daripada barisan kepimpinan tertinggi kerajaan, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa anggota Kabinet.
Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook menyifatkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Negeri Sembilan.
“Tahniah saya ucapkan kepada Datuk Ismail Lasim atas pelantikan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Amanah yang diberikan ini merupakan satu tanggungjawab besar dan saya yakin beliau akan melaksanakannya dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri.
“Insya-Allah, bersama-sama kita jadikan Negeri Sembilan gemilang semula,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menzahirkan keyakinan bahawa pengalaman luas Ismail dalam pentadbiran negeri akan menjadi kekuatan penting dalam memacu Negeri Sembilan ke arah kestabilan dan pembangunan yang lebih menyeluruh.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata, kepercayaan yang diberikan rakyat merupakan tanggungjawab besar untuk meneruskan kesinambungan pembangunan negeri.
Beliau berharap kepimpinan baharu itu dapat memastikan Negeri Sembilan terus menikmati kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kemakmuran yang dapat dikongsi secara adil oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Saya berdoa semoga Allah SWT terus mengurniakan kekuatan, kebijaksanaan serta petunjuk kepada beliau dalam memimpin Negeri Sembilan.
“Semoga dipermudahkan segala urusan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri. Insya-Allah,” katanya menerusi Facebook.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad turut menyifatkan pelantikan Ismail sebagai detik penting yang menandakan permulaan fasa baharu dalam kepimpinan Negeri Sembilan.
“Selamat menjalankan amanah dan memimpin Negeri Sembilan. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan, mengurniakan kekuatan dan kebijaksanaan dalam memikul tanggungjawab ini.
“Semoga setiap khidmat yang dicurahkan menjadi amal jariah yang memberi manfaat kepada rakyat serta memperoleh keberkatan-Nya,” katanya.
Ismail, 67, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Pelantikan itu membuka lembaran baharu dalam landskap pentadbiran Negeri Sembilan dengan Ismail membawa pengalaman hampir tiga dekad sebagai wakil rakyat dan anggota pentadbiran negeri.
Beliau memulakan kerjaya politik sebagai wakil rakyat selepas pertama kali memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri pada 1999.
Ismail kemudiannya dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2004 dan berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selama tiga penggal berturut-turut sehingga 2018.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau pernah diberikan tanggungjawab mengendalikan portfolio pendidikan dan terlibat secara langsung dalam penggubalan serta pelaksanaan pelbagai dasar berkaitan pembangunan pendidikan dan modal insan di Negeri Sembilan.
Pengalaman panjang dalam politik, pentadbiran serta pembangunan sumber manusia kini menjadi sandaran utama kepada Ismail untuk memimpin kerajaan negeri, mengukuhkan kestabilan dan memastikan agenda kemajuan Negeri Sembilan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Pelantikannya bukan sahaja membawa harapan terhadap kesinambungan pembangunan, malah menjadi permulaan kepada usaha membina sebuah pentadbiran yang lebih tersusun, responsif dan dekat dengan denyut nadi rakyat.
