Cadangan 16 DUN yang tidak diterima di peringkat pusat mendedahkan jurang antara tuntutan PAS Melaka dan kalkulasi penyatuan Hadi Awang
Samada warganet atau ahli dan penyokong tegar PAS, angka 16 menjadi tajuk utama di Melaka tetapi angka itu bukan keputusan rasmi. Sebenarnya ia merupakan cadangan Pesuruhjaya PAS Melaka dan bukannya keputusan rasmi PAS pusat dan cadangan tersebut tidak diterima oleh Presiden PAS, Hadi Awang, kerana dianggap terlalu tinggi dan tidak selari dengan semangat penyatuan.
Ketegasan Hadi Awang ini bukan bukti PAS telah berpecah tetapi menunjukkan jurang antara aspirasi negeri dengan congakan pusat. Penyatuan disebut sebagai matlamat, namun tuntutan sebesar 16 kerusi perlu diperbetulkan.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dan majoriti mudah memerlukan 15 kerusi. Cadangan 16 kerusi bukan permintaan untuk sekadar menjadi rakan pelengkap secara matematik, ia melepasi ambang majoriti dan memberi gambaran bahawa PAS Melaka mahukan kedudukan dominan. Namun, laporan yang sama menyatakan cadangan itu tidak diterima Hadi Awang pada tahap tersebut.
Jika diteliti kepada rekod pilihan raya negeri yang lalu, PAS tidak memenangi mana-mana DUN menggunakan tiketnya sendiri, walaupun kemudiannya mempunyai kedudukan politik melalui perpindahan ADUN Rembia dan kekuatan Parlimen di Jasin serta Tangga Batu. Fakta ini tidak menafikan pengaruh PAS tetapi agihan kerusi mesti diuji dengan kekuatan DUN yang boleh dibuktikan, bukan sekadar kehadiran di peringkat Parlimen.
Pendirian Hadi Awang membawa mesej bahawa penyatuan tidak boleh dibina dengan memberi satu pihak ruang menuntut secara maksimum. Ini bukan penolakan terhadap semua bentuk Kerjasama tetapi pembetulan terhadap tuntutan negeri supaya selari dengan kalkulasi pusat dan kepentingan gabungan yang lebih luas.
BN perlu bergerak tanpa gopoh. Kerjasama boleh dipertimbangkan demi mengurangkan pecah undi tetapi angka 16 tidak wajar menjadi titik mula. Agihan mesti berasaskan kekuatan setempat, kebolehmenangan, penerimaan rakyat dan kemampuan mentadbir.
Pendirian BN yang paling kuat bukan menolak kerjasama tetapi menetapkan syarat kewajaran. Setiap kerusi mesti dinilai berdasarkan kemampuan menang dan berkhidmat, bukan siapa paling awal menyebut angka. Kerjasama hanya bernilai jika mengurangkan pertembungan tanpa mengorbankan mandat tempatan.
