SEREMBAN, 16 September 2026 — Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan bahawa proklamasi penurunan takhta DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir adalah sah dan berkuat kuasa, selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mencapai keputusan kolektif dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar, Dato’ Ismail Bin Lasim, pada 15 September 2026.
Menurut kenyataan MMKN, proklamasi bertarikh 19 April 2026 itu dibuat menurut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan telah ditandatangani serta dicop mohor oleh YTM Undang Luak yang dinyatakan sah dan berkuat kuasa.
Majlis turut menegaskan bahawa prerogatif untuk memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terletak pada YTM Undang Yang Empat sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 32 dan Perkara 79 UUTKNS 1959 serta Perkara 71 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu turut mengesahkan bahawa proklamasi berkenaan telah ditandatangani oleh Menteri Besar, Dato’ Ismail Bin Lasim pada 3 Ogos 2026.
Menurut MMKN, tandatangan tersebut melengkapkan proklamasi berkenaan dan menjadikannya sempurna menurut Perkara 10(2) UUTKNS 1959.
Pemilihan Tuanku Nadzaruddin turut diiktiraf
Dalam keputusan sama, MMKN turut mengesahkan proklamasi pemilihan DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Proklamasi pemilihan yang dibuat menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 dan bertarikh 19 April 2026 itu juga, menurut kenyataan berkenaan, telah ditandatangani dan dicop mohor oleh YTM Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.
Sehubungan itu, MMKN mengambil ketetapan bahawa proklamasi pemilihan tersebut adalah teratur dan sempurna menurut UUTKNS 1959.
MMKN junjung ketetapan Undang Yang Empat
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut menyatakan bahawa kerajaan negeri menjunjung tinggi ketetapan yang dibuat oleh YTM Undang Yang Empat serta menghormati prerogatif mereka sebagaimana yang termaktub dalam adat dan UUTKNS 1959.
Berdasarkan ketetapan tersebut, kerajaan negeri secara rasmi mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta Kerajaan Negeri Sembilan oleh YTM Undang Yang Empat.
Pada masa yang sama, Tuanku Nadzaruddin diumumkan telah dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Pentadbiran negeri diarahkan laksana serta-merta
MMKN turut mengeluarkan arahan kepada Pentadbiran Kerajaan Negeri supaya mengambil langkah serta-merta bagi melaksanakan pengumuman tersebut.
Arahan itu, menurut kenyataan berkenaan, dibuat bagi mematuhi sabda dan ketetapan YTM Undang Yang Empat.
Keputusan terbaru ini merupakan pendirian rasmi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berhubung status kedua-dua proklamasi bertarikh 19 April 2026 dan menjadi asas kepada tindakan susulan pentadbiran negeri.
Dengan keputusan tersebut, kerajaan negeri mengambil pendirian bahawa kedua-dua proses iaitu penurunan takhta Tuanku Muhriz dan pemilihan Tuanku Nadzaruddin telah disempurnakan menurut kerangka yang ditetapkan di bawah UUTKNS 1959.
Kerajaan Negeri Sembilan kini bukan sahaja mengiktiraf keputusan YTM Undang Yang Empat, malah telah mengarahkan keseluruhan pentadbiran negeri untuk melaksanakannya berkuat kuasa serta-merta.
