Hutang Langsung Kerajaan Cecah RM1.4 Trilion: Apa Sudah Jadi?

Melaka Digest
By -
0

Rakyat Malaysia perlu mula membiasakan diri dengan satu angka baharu yang jauh lebih besar dan membimbangkan iaitu hutang langsung Kerajaan Persekutuan kini berada sekitar RM1.4 trilion.


Setakat akhir Jun 2026, hutang Kerajaan Persekutuan telah mencecah RM1,378.9 bilion atau hampir RM1.379 trilion. Angka ini bukan rekaan politik atau andaian di media sosial. Ia berdasarkan laporan Kementerian Kewangan sendiri.

Selepas tempoh tersebut, kerajaan dilaporkan menerbitkan kira-kira RM20 bilion sekuriti kerajaan domestik sepanjang Julai dan Ogos. Malaysia turut kembali ke pasaran antarabangsa pada Julai dengan menerbitkan sukuk global bernilai AS$1.5 bilion, bersamaan kira-kira RM6.1 bilion berdasarkan kadar pertukaran semasa penerbitan. Kementerian Kewangan mengesahkan sukuk berkenaan merupakan penerbitan global pertama Malaysia dalam tempoh lima tahun dan menerima permintaan tinggi daripada pelabur. The Star, Channel News Asia ada laporannya.

Secara pengiraan kasar, tambahan penerbitan tersebut meletakkan jumlah hutang langsung melepasi RM1.405 trilion.

Angka RM1.405 trilion itu wajar dianggap sebagai anggaran semasa sehingga kerajaan mengeluarkan kedudukan hutang bersih yang telah mengambil kira semua terbitan, bayaran balik dan penebusan matang. Bank Negara Malaysia sendiri menyediakan rekod penerbitan serta penebusan sekuriti kerajaan, bermakna angka muktamad sepatutnya boleh dibentangkan secara telus tanpa menunggu terlalu lama.

Perbandingannya amat besar.

Pada akhir 2017, ketika Barisan Nasional mentadbir, hutang langsung Kerajaan Persekutuan berjumlah RM686.8 bilion. Berdasarkan angka rasmi akhir Jun 2026 sahaja, hutang telah meningkat sebanyak RM692.1 bilion.

Maksudnya, dalam tempoh kurang sedekad, jumlah hutang langsung negara bukan sekadar bertambah. Ia sudah lebih daripada berganda.

Kerajaan hari ini mungkin berhujah bahawa saiz ekonomi turut berkembang, hutang perlu diukur sebagai peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan sebahagian pinjaman digunakan untuk membiayai pembangunan. Semua itu boleh dibahaskan. Kerajaan juga berhak menjelaskan strategi konsolidasi fiskal, pengurangan defisit dan tujuan setiap penerbitan hutang.

Namun tiada satu pun penjelasan tersebut menghapuskan angka pokok, Malaysia kini menanggung hutang langsung sekitar RM1.4 trilion.

Perbahasan juga tidak boleh mencampuradukkan hutang langsung dengan keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan. Kedua-duanya berkaitan, namun bukan ukuran yang sama.

Hutang langsung merujuk kepada pinjaman yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan. Jumlah hutang dan liabiliti pula merangkumi komitmen lebih luas seperti jaminan kerajaan, liabiliti perkongsian awam swasta serta obligasi kewangan lain yang akhirnya boleh memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara.

Angka terakhir yang diumumkan kerajaan bagi keseluruhan hutang dan liabiliti ialah kira-kira RM1.695 trilion setakat 30 Jun 2025, bersamaan 84.1 peratus daripada KDNK. Angka itu sendiri kini sudah berusia lebih setahun.

Mengambil kira pertambahan hutang langsung dan penerbitan baharu selepas Jun 2025, keseluruhan hutang serta liabiliti kerajaan kini munasabah dianggarkan menghampiri RM1.8 trilion. Angka tepat hanya boleh disahkan oleh Kementerian Kewangan kerana kerajaan mempunyai rekod lengkap mengenai hutang, jaminan, komitmen dan penebusan.

Di sinilah persoalan ketelusan menjadi semakin penting.

Mengapa angka keseluruhan hutang dan liabiliti yang terkini masih belum diumumkan? 
 
Mengapa rakyat masih disuapkan angka lama sedangkan kerajaan terus menerbitkan instrumen hutang baharu? 
 
Jika kedudukan fiskal negara benar-benar semakin kukuh, bukankah kerajaan sepatutnya lebih cepat membuka angka tersebut untuk dinilai rakyat?

Rakyat tidak boleh diminta berbangga dengan pengurangan defisit tanpa diberikan gambaran penuh tentang pertambahan stok hutang. Defisit tahunan yang mengecil tidak bermaksud hutang keseluruhan telah berkurang. Selagi perbelanjaan kerajaan melebihi hasil, hutang masih bertambah, cuma pada kadar yang mungkin lebih perlahan.

Kerajaan juga tidak boleh hanya bercakap tentang nisbah hutang kepada KDNK tanpa menjelaskan kos membayar faedah dan keuntungan sukuk. Lebih besar hutang, lebih besar bahagian hasil negara yang perlu digunakan untuk membayar komitmen terdahulu. Wang tersebut akhirnya tidak dapat dibelanjakan untuk sekolah, hospital, jalan raya, bantuan rakyat atau pembangunan ekonomi baharu.

Angka RM1.4 trilion bukan bahan propaganda. Ia ukuran terhadap beban yang sedang dipikul negara dan bakal diwarisi generasi seterusnya.

Kerajaan Madani pernah menjadikan isu hutang negara sebagai senjata politik. Kini, kerajaan yang sama bertanggungjawab menjelaskan bagaimana hutang langsung meningkat daripada RM686.8 bilion pada 2017 kepada hampir RM1.4 trilion pada hari ini.

Jangan lagi berlindung di sebalik angka RM1.3 trilion.

Terbitkan kedudukan terkini hutang langsung kerajaan. Dedahkan jumlah keseluruhan hutang dan liabiliti. Perincikan penerbitan baharu, penebusan, jaminan serta kos khidmat hutang.

Rakyat berhak mengetahui angka sebenar kerana hutang kerajaan bukan hutang sebuah parti atau pentadbiran.

Hutang itu akhirnya dibayar menggunakan wang rakyat.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)