Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 7 Oktober depan sebagai tarikh mesyuarat khas bagi membincangkan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16. Ketetapan itu dibuat selaras dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 23 September lalu.
Namun, di sebalik perkembangan rasmi itu, satu perkara lain yang kini hangat menjadi perbualan di warung-warung makan asam pedas ialah soal pemilihan calon Barisan Nasional pada kali ini. Walaupun persoalan mengenai parti mana yang akan bersama UMNO dan Barisan Nasional masih belum diputuskan, isu calon pula tiba-tiba menjadi semakin panas.
Kenapa panas?
Menurut sumber, masih ada segelintir individu yang berperangai “pasang badan” dan berangan-angan mahu menjadi calon. Mereka sanggup mengeluarkan belanja bagi membentuk kumpulan penyokong, sama ada di lapangan mahupun di platform media sosial, semata-mata untuk menonjolkan diri. Kononnya, jika semua itu tidak dilakukan, orang tidak akan nampak mereka layak untuk dipilih sebagai calon. Itulah antara bualan yang kini sedang berlegar dalam kalangan masyarakat di Melaka.
Walaupun penentuan akhir calon merupakan hak prerogatif Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, nama-nama yang dicadangkan terlebih dahulu melalui penelitian dan pertimbangan di peringkat negeri di bawah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Malah, amalan UMNO dan Barisan Nasional selama ini ialah nama calon bagi kerusi DUN dan Parlimen dikemukakan melalui Bahagian masing-masing. Daripada senarai tersebut, proses penelitian dan penapisan dilakukan sebelum nama-nama yang dianggap sesuai diperhalusi di peringkat negeri, seterusnya dipersembahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Negeri kepada Presiden parti untuk pertimbangan dan keputusan akhir.
Jangan kerana terlalu ghairah melihat angka kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Melaka yang lalu, maka ada pihak tiba-tiba menjadi terlalu obses untuk mengejar tiket calon. Perlu diingat, ketika Barisan Nasional berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN dalam PRN tersebut, momentum kemenangan itu tidak kekal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 apabila Barisan Nasional tewas di kesemua kerusi Parlimen di Melaka.
Apa maknanya?
Mudah. Sokongan rakyat bukan sesuatu yang statik. Angin perubahan boleh bertukar pada bila-bila masa daripada menyokong kepada menolak. Jika budaya terlalu ghairah mahu menjadi calon terus dibiarkan, ditambah pula dengan sikap mensabotaj parti apabila tidak terpilih, maka tidak mustahil keputusan pilihan raya akan datang juga boleh berubah dan tidak lagi memihak kepada Barisan Nasional.
Gema di warung-warung asam pedas juga semakin kuat kedengaran. Sudah mula berlegar cerita bahawa ada pihak yang sedang giat melobi untuk mendapatkan tiket calon, malah dikatakan sanggup menggunakan “kabel” yang dikaitkan dengan keluarga Presiden parti. Tidak kurang juga dakwaan bahawa ada yang cuba membawa nama atau hubungan dengan pihak ‘istana Melaka’?.
Semua ini kekal sebagai cakap-cakap politik selagi tidak disokong dengan bukti, namun ia cukup menggambarkan betapa jika benarlah wujudnya ‘ulat-ulat politik’ untuk mencaturkan siapa yang akan berada dalam senarai calon kali ini maka UMNO BN Melaka perlu pantas bertindak.
Politik sentiasa dinamik dan rakyat hari ini jauh lebih matang dalam menilai siapa yang benar-benar layak mewakili mereka. Ruang sewajarnya perlu diberikan kepada muka baharu yang mempunyai potensi, penerimaan akar umbi dan kemampuan untuk berkhidmat. Pada masa yang sama, wakil rakyat sedia ada yang mempunyai rekod perkhidmatan baik sepanjang sepenggal lalu wajar dinilai berdasarkan prestasi mereka, manakala mereka yang rekod khidmatnya kurang meyakinkan perlu melalui penilaian yang lebih ketat.
Apa yang paling penting ialah proses pemilihan calon tidak seharusnya ditenggelamkan oleh budaya melobi, tekanan kelompok atau permainan dalaman. Jika UMNO dan Barisan Nasional Melaka dapat mengekalkan disiplin organisasi serta menghormati proses penilaian yang dikendalikan di peringkat negeri sebelum keputusan akhir dibuat oleh kepimpinan pusat, fokus parti boleh kekal pada satu perkara yang lebih besar iaitu menampilkan barisan calon yang benar-benar mempunyai rekod, kemampuan dan penerimaan rakyat.
Jika Rauf mendapat sokongan padu dan diberikan ruang yang cukup selesa dalam proses ini maka UMNO BN Melaka bersedialah untuk mencipta sejarah kemenangan yang lebih besar.