“UMNOMelakaFans” Tiada kaitan dengan UMNO Melaka
MELAKA: Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka menafikan akaun media sosial “umnomelakafans” yang sedang tular sebagai akaun rasminya, sekali gus menegaskan bahawa kandungan yang diterbitkan melalui akaun itu tidak mewakili pendirian parti di negeri berkenaan.
Setiausahanya, Senator Datuk Haji Mustafa Musa, berkata penjelasan itu dibuat susulan penularan satu hantaran daripada akaun terbabit berkaitan pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah yang mencetuskan pelbagai reaksi serta salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Sebarang kandungan, kenyataan, grafik atau komen yang diterbitkan melalui akaun tersebut tidak pernah mendapat kebenaran atau mandat daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka,” katanya dalam kenyataan media bertarikh 28 September 2026.
Menurut Mustafa, UMNO Melaka memandang serius penggunaan nama dan identiti yang boleh menimbulkan kekeliruan, khususnya apabila masyarakat mengaitkan kandungan akaun berkenaan dengan parti itu.
Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak menganggap sebarang kandungan daripada akaun berkenaan sebagai kenyataan atau pendirian rasmi UMNO Melaka.
Mustafa turut menyatakan komitmen UMNO Melaka untuk membantu pihak berkuasa berhubung perkara itu.
“UMNO Negeri Melaka akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan menyerahkan segala maklumat serta bukti berkaitan yang berada dalam simpanan kami,” katanya.
