Gelagat beberapa individu yang berhasrat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, khususnya daripada blok pembangkang, semakin menimbulkan persoalan mengenai hala tuju dan kewajaran pendekatan kempen mereka.
Ketika seorang individu yang bukan calon rasmi PKR-PH dilihat cuba menggunakan pentas program Kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan diri dan meraih perhatian pengundi, situasi berbeza pula berlaku di DUN Kuala Linggi apabila calon rasmi Parti BERSAMA tampil dengan pendekatan yang tidak kurang mengejutkan.
Calon berkenaan seolah menawarkan untuk menggunakan wang sendiri bagi melaksanakan kerja mendalamkan muara di Kuala Linggi?
Jika benar, ianya sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kewajaran janji tersebut, sumber pembiayaan serta keupayaan melaksanakan projek yang lazimnya memerlukan perancangan teknikal, kelulusan pihak berkuasa dan peruntukan yang bersesuaian.
Lebih menghairankan, sumber mendakwa calon BERSAMA yang dikatakan bukan anak jati Kuala Linggi itu sebenarnya tidak pun berhasrat mengeluarkan wang sendiri untuk mendalamkan muara yang didakwa terjejas akibat projek Kuala Linggi International Port (KLIP). Sebaliknya, tawaran yang kedengaran begitu hebat itu didakwa tidak lebih daripada gimik politik dan bahan konten untuk menggambarkan kesusahan nelayan demi meraih perhatian menjelang pilihan raya.
Jika benar dakwaan tersebut, persoalannya cukup mudah. Adakah calon BERSAMA benar-benar mahu menyelesaikan masalah nelayan Kuala Linggi atau sekadar mahu menjadikan kesusahan mereka sebagai modal kempen politik?
Rakyat memerlukan penyelesaian yang nyata, bukannya janji besar yang hanya hebat di hadapan kamera.
“Takkan perkara semudah ini pun dia tidak faham? Setiap pembangunan pasti ada cabaran dan gangguan sementara. Ibarat membina rumah, ketika kerja pembinaan berjalan, keadaan memang berselerak dan kurang selesa. Namun, apabila siap, rumah itulah yang memberikan keselesaan kepada penghuninya. Begitu juga dengan projek pembangunan di Kuala Linggi. Jangan kerana mahu mencari modal politik, kesulitan sementara diperbesar-besarkan sehingga manfaat jangka panjang kepada rakyat sengaja diketepikan,” kata seorang penduduk DUN Kuala Linggi yang ingin di kenali sebagai Amri Sani.
“Sepanjang satu penggal yang lalu, di mana calon BERSAMA ini? Apa sebenarnya sumbangan beliau kepada nelayan dan penduduk Kuala Linggi? Kalau benar mahu menjadi pembela rakyat, tunjukkan dahulu rekod kerja, bukan sekadar muncul menjelang pilihan raya dengan pelbagai janji. Rakyat berhak bertanya, mengapa masalah nelayan yang sudah lama wujud hanya menjadi perhatian sekarang? Apa penyelesaian yang pernah diusahakan sebelum ini? Jangan sampai semangat mahu menjadi calon lebih besar daripada kesungguhan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Kuala Linggi memerlukan bukti kerja, bukan sekadar 5 tahun sekali pikul kayu untuk ukur dasar laut,” tegasnya.
“Datang dari luar bukan untuk menyelesaikan masalah rakyat tetapi sibuk mengapi-apikan sentimen dan melaga-lagakan penduduk demi mencari keuntungan politik. Sepanjang satu penggal, apa sumbangannya kepada Kuala Linggi? Kalau benar ikhlas mahu membantu nelayan, mengapa tunggu sehingga pilihan raya semakin dekat baru hendak menunjuk hero? Jangan jadikan kesusahan nelayan sebagai pentas lakonan politik. Rakyat Kuala Linggi bukan bodoh untuk membezakan siapa yang benar-benar bekerja dengan siapa yang sekadar menumpang isu untuk mencari makan politik. Kalau sumbangan pun belum terbukti, jangan berlagak seolah-olah paling layak menjadi penyelamat rakyat. Kuala Linggi perlukan pemimpin yang bekerja, bukan calon yang hanya pandai menunggang masalah orang kampung untuk mengejar jawatan,” tegasnya.
