JELEBU – Lembaga Adat Luak Jelebu menegaskan bahawa proses pemilihan, pelantikan dan istiadat penzahiran Azrin bin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti pada 14 Oktober 2026 adalah tidak sah serta tidak diiktiraf menurut lunas dan aturan adat purba Luak Jelebu yang sebenar.
Menerusi kenyataan media bertarikh 14 Oktober 2026, Lembaga Adat Luak Jelebu menyatakan bahawa pendirian tersebut berasaskan tiga perkara utama, iaitu tindakan membelakangkan pemegang adat yang sah, pelanggaran aturan adat warisan serta pertikaian mengenai kedudukan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Menurut kenyataan itu, proses pemilihan dan pelantikan Azrin didakwa dilaksanakan tanpa penglibatan, rujukan mahupun persetujuan mutlak majoriti penyandang gelaran Dato’ Lembaga Adat Luak Jelebu yang sah berdasarkan nasab dan tertib adat purba.
Lembaga Adat turut menegaskan bahawa istiadat berkenaan tidak mematuhi susur galur ketetapan Adat Perpatih serta garis panduan pertabalan yang menjadi tunjang kepada aturan adat Luak Jelebu sejak turun-temurun.
Sebagai membantah penganjuran istiadat tersebut, kenyataan itu memaklumkan bahawa Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Jelebu telah membuat laporan polis pada 12 Oktober 2026.
Menyentuh kedudukan Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Lembaga Adat Luak Jelebu menegaskan bahawa sebarang keputusan atau ketetapan awal yang mengetepikan institusi Undang Luak Jelebu merupakan tindakan bersifat unilateral, sedangkan pertikaian berkaitan undang-undang dan adat masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Sehubungan itu, Lembaga Adat Luak Jelebu menyeru seluruh anak buah luak serta masyarakat umum supaya tidak terkeliru dengan istiadat pemasyhuran berkenaan, yang menurut pendirian pihaknya tidak memenuhi lunas dan aturan adat purba Luak Jelebu.
Lembaga Adat turut menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan kedaulatan aturan adat yang diwarisi sejak turun-temurun, sekali gus memelihara maruah, keutuhan dan keharmonian institusi beraja serta institusi luak daripada sebarang bentuk campur tangan yang bercanggah dengan tradisi dan ketetapan adat.
