Pengumuman Calon PH Ditangguh: DAP–PKR Berebut Kerusi, "Poster Boy"

Melaka Digest
By -
0

Belum pun bermula kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Pakatan Harapan (PH) sudah berdepan beberapa perkembangan yang menimbulkan persoalan mengenai kesepakatan dalamannya.


Pengumuman calon yang pada asalnya dijadualkan pada 18 Oktober kini ditangguhkan kepada 24 Oktober, ketika pertikaian mengenai pembahagian kerusi antara DAP dan PKR serta dakwaan persaingan mendapatkan pencalonan dalam PKR sendiri semakin mendapat perhatian.

Penangguhan selama enam hari itu mungkin dianggap sekadar perubahan jadual. Namun, apabila ia berlaku ketika parti-parti komponen masih menjelaskan pendirian masing-masing mengenai kerusi dan calon, persoalan yang timbul bukan lagi semata-mata bila pengumuman dibuat, tetapi sejauh mana persiapan PH benar-benar telah dimuktamadkan.

Pada 11 Oktober, MelakaDigest menerbitkan laporan bertajuk PRN Melaka: Berebut Nak Jadi Calon PKR di Klebang yang mengaitkan dua nama dengan kemungkinan pencalonan PKR di kawasan tersebut.

Mereka ialah bekas Pengerusi PKR Melaka, Mohd Rafee Ibrahim atau Cikgu Rafee, dan Farzana Hayani Mohd Nasir, yang pernah bertanding atas tiket PKR di Sungai Rambai pada PRN 2021 ketika berusia 21 tahun.

Laporan sama memetik sumber yang mendakwa enam cabang PKR Melaka menolak kemungkinan Farzana diketengahkan sebagai calon. Bagaimanapun, dakwaan berkenaan belum disahkan secara bebas dan tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi semua cabang terbabit tanpa pengesahan lanjut.

Penyokong PH kecewa kerana pemimpin atasan tidak pedulikan suara akar umbi dan seolah-olah lupa bahawa PKR Melaka telah gagal memenangi sebarang kerusi daripada 11 DUN ditandinginya pada PRN 2021. Parti itu bukan sahaja perlu mencari calon yang mampu bertanding tetapi calon yang benar-benar mempunyai sokongan ahli parti serta keupayaan meyakinkan pengundi.

Ketika persoalan pemilihan calon PKR mendapat perhatian, hubungan antara parti komponen PH turut diuji susulan kenyataan mengenai DUN Ayer Keroh.

Pemimpin DAP Melaka, Kerk Chee Yee, secara terbuka mempersoalkan tindakan Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Azman Abidin, menyebut Ayer Keroh antara kerusi yang menjadi sasaran PKR walaupun rundingan pembahagian kerusi PH dikatakan telah selesai.

Kerk menegaskan Ayer Keroh merupakan antara lapan kerusi yang diperuntukkan kepada DAP dan menggesa parti komponen supaya tidak membangkitkan tuntutan kerusi secara terbuka.

Ayer Keroh bukan kawasan yang mudah dipandang ringan. DAP menguasainya sejak 2008, manakala Kerk mempertahankan kerusi itu pada PRN 2021 dengan majoriti 5,624 undi.

Pada 8 Oktober, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, menyatakan gabungan itu dijangka bertanding antara 18 hingga 21 kerusi DUN Melaka tetapi tidak menolak kemungkinan bertanding di semua 28 kawasan.

Keputusan akhir masih tertakluk kepada pertimbangan kepimpinan pusat, termasuk kemungkinan kerjasama politik dengan pihak lain.

Pada masa sama, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, memaklumkan bahawa calon berpotensi telah dikenal pasti tetapi masih melalui proses penilaian parti-parti komponen.

Ini bermakna PH perlu menyelesaikan beberapa keputusan penting secara serentak, termasuk jumlah kerusi yang bakal ditandingi, pengagihan antara parti, pemilihan calon dan bentuk kerjasama politik.

Malah, antara faktor kemelut Pakatan Harapan ialah, siapakah ‘Poster Boy’ atau bakal Ketua Menteri Melaka kiranya mereka menang?

Menariknya, menurut sumber, ada beberapa nama dari kesemua komponen Pakatan Harapan termasuk dari wakil Melayu dari DAP Melaka yang gigih melobi untuk jadi Ketua Menteri?

Bersambung

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)