Apabila P Ramasamy memberi amaran kononnya kerjasama dengan PAS bakal mencetuskan “risiko terbesar” kepada UMNO, persoalan sebenar bukan sekadar sama ada analisis itu tepat atau tidak. Persoalan yang lebih menarik mengapa setiap kali UMNO dan PAS mula mencari ruang persefahaman akan muncul suara dari luar yang begitu ghairah menghalang kedua-duanya dengan mencipta "fear factor" mengapa mereka sepatutnya takut antara satu sama lain.
Ramasamy mahu UMNO percaya kononnya PAS boleh mengatasi malah mengetepikan parti itu di kawasan majoriti Melayu. Alasannya, UMNO mungkin memperoleh keuntungan segera melalui pengurangan pertembungan sesama sendiri tetapi dalam jangka panjang PAS berpotensi menjadi parti lebih dominan khususnya di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Hujah itu kedengaran seperti nasihat politik. Namun apabila diperhalusi lebih dalam, mesej yang cuba ditanam sebenarnya cukup mudah.
Kononnya UMNO perlu takut kepada PAS.
Di sinilah Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Khairuddin Aman Razali melihat bahaya yang lebih halus. Beliau menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai cubaan “menabur racun halus” terhadap usaha membina persefahaman antara UMNO dan PAS. Baginya, perundingan tidak seharusnya bermula dengan persoalan siapa bakal menelan siapa sebaliknya dengan sikap saling menghormati, bertolak ansur serta mencari formula menang-menang.
Hakikatnya, kerangka pemikiran yang dibawa Ramasamy terlalu mudah. Ia mengandaikan politik Melayu hanya boleh berfungsi melalui persaingan mutlak. Jika PAS kuat, UMNO mesti lemah. Jika UMNO bangkit, PAS mesti kehilangan sesuatu. Jika kedua-duanya bekerjasama, pasti salah satu sedang merancang untuk menguasai yang lain.
Politik tidak semestinya sesempit itu.
UMNO dan PAS memang mempunyai sejarah panjang sebagai pesaing. Mereka mempunyai struktur, budaya organisasi, pendekatan politik dan kawasan pengaruh yang berbeza. Justeru, sebarang kerjasama sudah tentu memerlukan rundingan keras termasuk soal kerusi. Itu realiti yang tidak perlu disembunyikan.
Namun kewujudan perbezaan tidak bermaksud kerjasama mesti dilihat sebagai perang menentukan siapa “abang besar”.
Bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad sendiri menolak kerangka itu. Beliau menegaskan kedua-dua parti mempunyai kekuatan masing-masing. UMNO berada dalam kerajaan manakala PAS mempunyai kekuatan lebih besar dari segi bilangan wakil rakyat. Bagi PAS, persoalannya bukan siapa lebih besar tetapi bagaimana kekuatan berbeza itu boleh diterjemahkan kepada persefahaman.
Di sinilah kenyataan Ramasamy akhirnya mengundang persoalan lain.
Jika benar kerjasama UMNO dan PAS begitu merugikan UMNO, mengapa pihak luar begitu bersungguh-sungguh memberi amaran supaya UMNO menjauhinya?
Jika PAS benar-benar bakal memusnahkan UMNO bukankah lawan politik UMNO sepatutnya membiarkan sahaja kedua-duanya bekerjasama sehingga ramalan itu menjadi kenyataan?
Sebaliknya, setiap perkembangan ke arah persefahaman segera disambut dengan teori bahawa UMNO akan ditelan PAS, PAS akan mempergunakan UMNO atau salah satu parti akhirnya akan kehilangan identiti.
Itulah sebab istilah “racun halus” mempunyai makna politik yang lebih besar. Racun tidak semestinya diberikan melalui serangan terbuka. Kadangkala ia diselitkan melalui kebimbangan yang kelihatan munasabah sehingga dua pihak mula meragui niat masing-masing sebelum perundingan sebenar pun berlaku.
UMNO tentu tidak perlu menerima apa sahaja yang diminta PAS. PAS juga tidak perlu tunduk kepada semua kehendak UMNO. Kedua-duanya wajib berunding berdasarkan kekuatan sebenar, realiti kawasan dan kepentingan akar umbi.
Namun keputusan tentang masa depan hubungan UMNO dan PAS sepatutnya dibuat oleh UMNO dan PAS sendiri bukan ditentukan oleh ketakutan yang dibina pihak luar.
Ramasamy berhak memberikan pandangannya.
UMNO dan PAS pula berhak bertanya satu soalan yang jauh lebih penting.
Jika persefahaman mereka benar-benar tidak membawa ancaman kepada sesiapa, mengapa ada pihak kelihatan begitu bimbang apabila kedua-duanya mula duduk semeja?
Kadangkala daripada siapa yang paling gelisah terhadap sesuatu kerjasama, kita boleh memahami siapa sebenarnya yang paling takut melihat kerjasama itu berjaya.
