Isu tunggakan cukai Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat perlu diletakkan pada bidang kuasa yang betul. Apabila saluran penyelesaian yang ditunjukkan sendiri menuju ke Kementerian Kewangan, kerajaan negeri tidak wajar dijadikan tempat meletakkan seluruh kesalahan.
Calon Pakatan Harapan bagi DUN Kuala Linggi, dilaporkan membawa masalah persatuan itu kepada Setiausaha Politik Menteri Kewangan,, sebelum mendapat perhatian dan tandatangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dari situ muncul naratif masalah tujuh tahun yang dikatakan selesai dalam tempoh dua hari.
Memang nampak hebat apabila masalah dikatakan selesai dalam dua hari. Cuma, rakyat perlu tahu siapa yang membuat keputusan dan sama ada masalah itu benar-benar sudah selesai.
Rakyat dan pengundi Kuala Linggi tidak diperjelaskan bahawa Anwar memegang portfolio Menteri Kewangan selain jawatan Perdana Menteri. Dalam urusan percukaian, portfolio kewangan dan peruntukan undang-undang yang berkaitan itulah yang perlu dirujuk.
Calon PH juga tidak menyebut bahawa Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, sepatutnya bertanggungjawab membawa masalah rakyat kepada kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan.
Kuala Linggi berada dalam kawasan Parlimen beliau. Sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat, beliau antara pihak paling wajar membantu mengangkat masalah penduduk kepada kementerian dan agensi Persekutuan.
Tidak salah seorang calon DUN membantu membawa rayuan ke peringkat Persekutuan. Usaha itu boleh dihargai. Namun, bantuan menghubungkan pengadu dengan pihak berkuasa tidak memindahkan kuasa percukaian kepada calon atau kerajaan negeri.
Perkara paling penting yang perlu dijelaskan oleh Pakatan Harapan ialah bila masalah cukai ini bermula dan siapa yang mempunyai kuasa untuk menyelesaikannya sepanjang tempoh tersebut. Garis masa ini penting.
Adly Zahari daripada AMANAH memimpin kerajaan negeri Melaka dari Mei 2018 hingga Mac 2020, kira-kira 22 bulan. Jika masalah persatuan ini sudah wujud ketika itu, apakah tindakan yang pernah diambil? Adakah perkara tersebut dibawa kepada kementerian atau agensi Persekutuan yang berkaitan?
Bidang kuasa juga mesti diperjelas. Ketua Menteri boleh membantu membawa rayuan dan mendapatkan perhatian Kerajaan Persekutuan, namun beliau tidak mempunyai kuasa sendiri untuk menghapuskan tunggakan cukai Persekutuan. Kuasa membuat keputusan tetap terletak pada pihak berkuasa yang berkenaan, mengikut undang-undang. Jadi calon PH ingin tujukan kepada siapa kempennya yang nampak seolah menuding jari kepada kelemahan pemimpin di Melaka?
Tempoh tujuh tahun yang disebut itu turut merentas beberapa pentadbiran Persekutuan. Sebab itu, tahun taksiran, tarikh penalti dikenakan dan sejarah rayuan perlu dijelaskan sebelum mana-mana pihak dipersalahkan.
Anwar sudah hampir empat tahun menjadi Perdana Menteri dan turut memegang portfolio Menteri Kewangan. Sepanjang tempoh itu, apakah usaha pemimpin PH setempat untuk membawa masalah persatuan ini kepada beliau atau kementeriannya?
Dakwaan penalti sekitar RM70,000 sudah diselesaikan perlu disokong dengan pengesahan rasmi. Adakah penalti itu dihapuskan sepenuhnya, dikurangkan atau masih ada syarat yang perlu dipenuhi?
Tandatangan pada surat untuk tindakan susulan sahaja belum cukup untuk membuktikan masalah itu sudah selesai.
Jika penghapusan atau pengurangan penalti sudah diluluskan dan dilaksanakan, persatuan perlu menerima pengesahan rasmi mengenainya. Jika permohonan masih diproses, nyatakan status sebenar dengan jujur.
Dua hari boleh menjadi tajuk kempen. Apa yang berlaku sepanjang tujuh tahun itu tetap perlu dijelaskan.
