PRESTASI RAUF SEBAGAI WAKIL RAKYAT A+, KATA PEMIMPIN PAS MASJID TANAH

Melaka Digest
By -
0
MASJID TANAH : Sokongan ahli PAS terhadap pencalonan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.02 Tanjung Bidara sangat luar biasa dan dapat dilihat pada hari penamaan calon, baru-baru ini.

Tinjauan Mynewshub pada hari tersebut mendapati penyokong Barisan Nasional (BN) dan penyokong PAS berarak bersama-sama mengiringi Ab Rauf ke Kompleks Japerun, Tanjung Bidara.

Yang Dipertua PAS Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman, berkata, sokongan padu ahli PAS terhadap pencalonan Ab Rauf membuktikan formula penyatuan ummah berjaya.

Beliau yang pernah tiga kali bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi DUN N.02 Tanjung Bidara ke-12, 13 dan 14 berkata, sokongan itu luar biasa, sekali gus memberi petanda baik untuk Ab Rauf sebagai calon.

Ustaz Imran Abdul Rahman yakin penyatuan ummah BN PN akan memberi kemenangan besar kepada calon BN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di DUN N.02 Tanjung Bidara.

“Saya nampak luar biasa, penyokong dua pihak. Ini satu petanda baik untuk Datuk Rauf sebagai calon.

“Saya rasa dia (Datuk Rauf) akan dapat majoriti yang besar kali ini, memandangkan kerusi satu lawan satu. Berbanding tempat lain, ada yang tiga dan ada yang empat.

“Lagi satu, kita sedia maklum, khidmat Datuk Rauf di kawasan ini (DUN Tanjung Bidara) memang terbaik. Saya boleh beri A+,” katanya kepada Mynewshub.

Imran berkata, ahli PAS Masjid Tanah sejak dahulu sehingga kini tidak pernah menghadapi masalah dengan penyokong BN.

“Itulah sahabat kita (BN). Itulah saudara mara kita,” tambahnya.

Beliau menekankan pentingnya penyatuan ummah sehingga sanggup berjalan kaki dari SK Pengkalan Balak sehingga ke Kompleks Japerun, Tanjung Bidara.

“Saya sanggup berkorban bersama. Insyallah, PAS dan parti komponen BN akan memastikan calon BN menang.

"Ini penyatuan ummah Melayu dan Islam. Kita bukan tolak kaum lain. Kita hanya tolak kaum yang ekstrem.

"Hari ini, kita boleh tengok MCA dan MIC pun saling menyokong.

“Ini menunjukkan penyatuan ummah bukan untuk kaum Melayu semata-mata, tetapi juga kaum lain iaitu Cina dan India, janji jangan ekstrem,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru semua ahli dan penyokong PAS serta komponen Perikatan Nasional (PN) termasuk parti Wawasan menyokong Ab Rauf.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)