KUALA LINGGI – Menambah baik kemudahan jeti Kuala Sungai Baru yang daif menjadi keutamaan calon Barisan Nasional (BN) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Kata Rosli, beliau juga akan membantu mengurangkan beban nelayan yang berdepan kos membaiki enjin bot yang mencecah puluhan ribu ringgit, selain memastikan lebih ramai dapat memiliki lesen menangkap ikan.
“Keutamaan saya adalah membantu nelayan yang belum mempunyai lesen menangkap ikan untuk mengelakkan mereka berdepan risiko tindakan undang-undang dan denda yang sangat tinggi kalau ditahan ketika turun ke laut.
"Kita juga sudah ada perancangan menambah baik jeti Kuala Sungai Baru dan memastikan keselamatan nelayan lebih terjamin," katanya pada majlis Sembang Santai Nelayan Bersama Calon N.01, di sini hari ini.
Rosli yang juga penyandang jawatan percaya, kerja naik taraf jeti Kuala Sungai Baru bukan sahaja memberi manfaat kepada nelayan, malah mampu membantu ekonomi penduduk setempat kerana kawasan tersebut akan menjadi daya tarikan baharu di Kuala Linggi.
“Perancangan ini juga pastinya akan mewujudkan satu lagi tarikan pelancongan baharu khusus di Kuala Linggi, jadi faedahnya bukan sahaja untuk nelayan tetapi pemilik premis perniagaan sekitar.
“Semua ini akan menjadi pelangkin kepada perkembangan ekonomi setempat kerana lokasi jeti yang hampir dengan kawasan perniagaan dan Pasar Awam Kuala Sungai Baru.
“Lokasi ini menawarkan pemandangan jeti nelayan yang sesuai untuk mereka suka bergambar, kalau mahu beriadah atau mengeluarkan peluh ini adalah tempatnya nanti,” katanya.

