MASJID TANAH - "Saya bukan jenis yang suka bercampur sangat atau sertai mana-mana program tapi bila minta bantuan dapat je.
"Bagi saya nak jadi wakil rakyat kena ada tiga perkara - dengar aduan rakyat, buat susulan dan hulur bantuan yang bersesuaian.
"Terus terang saya senang dengan Datuk Rosli (Abdullah), sepanjang lima tahun beliau berkhidmat, saya tak nampak ada masalah besar, jadi tiada keperluan nak tukar (wakil rakyat)," kata penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Mohd Zahari Ibrahim menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November.
MOHD. Zahari Ibrahim mengakui akan mengundi Datuk Rosli Abdullah pada Pilihan Raya Negeri Melaka, 14 November ini kerana membalas jasa calon Barisan Nasional itu.
Menurut Zahari, 53, antara sumbangan besar yang pernah diterima adalah bantuan memperbaiki atap rumahnya yang tercabut kerana ribut tahun ini.
Pada mulanya beliau segan untuk meminta bantuan kerana jarang mengikuti program-program masyarakat yang diadakan di Kuala Linggi tetapi memikirkan keadaan atap rumah sudah teruk, beliau tetap membuat permohonan.
"Saya ikut semua prosedur yang disuruh. Buat laporan polis kemudian hantar permohonan kepada Japerun (Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri). Saya terkejut bila Datuk Rosli sendiri datang ke rumah untuk lihat keadaan bumbung.
"Selepas berbincang dengan kontraktor, beliau tidak hanya menyuruh atap yang rosak diperbaiki tetapi seluruh bumbung rumah kami yang sudah lama juga diganti baru. Saya sangat terharu dan berterima kasih kepada Datuk Rosli," katanya.
Kata Rosli, beliau bukanlah penyokong tegar mana-mana parti politik tetapi beliau akan memilih calon yang telah berjasa dan membuat keputusan tepat pada PRN Melaka, 14 November ini.
