Timbul kekeliruan di media sosial berhubung dakwaan wujudnya gerakan dalam kalangan ahli PPBM yang kononnya menolak pelantikan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka.
Namun semakan dan tinjauan terhadap reaksi di lapangan politik Melaka membongkar gambaran sebenar adalah penolakan itu bukan datang daripada jentera atau kepimpinan PPBM, sebaliknya dari kelompok penyokong dan akar umbi PAS sendiri.
Melalui satu kenyataan rasmi di laman Facebook, Ketua Bahagian PPBM Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim menafikan sekeras-kerasnya wujud gerakan dalaman PPBM untuk menolak pelantikan tersebut. Malah, beliau menegaskan bahawa Bahagian Kota Melaka menyokong penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap pelantikan Mas Ermieyati sebagai Pengerusi PN Melaka, serta Tan Sri Dr Abdul Rahim Thamby Chik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Melaka.
Namun di sebalik kenyataan sokongan itu, gelombang tidak puas hati sebenarnya datang dari penyokong PAS Melaka sendiri.
Reaksi mereka di pelbagai platform menunjukkan rasa kurang senang terhadap pelantikan Mas Ermieyati yang dianggap tidak mempunyai karisma kepimpinan dan rekod prestasi cemerlang sebagai wakil rakyat.
Ramai di kalangan mereka secara sinis mengungkap kembali kenyataan Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Muhammad Salman Al-Farisi, yang sebelum ini menggunakan analogi “lembu betina” dalam hujahnya menolak kepimpinan wanita dan kini analogi itu seakan memakan diri apabila PAS Melaka menerima pelantikan wanita sebagai peneraju PN negeri.
Kritikan terhadap Mas Ermieyati bukan sekadar bersifat gender tetapi lebih kepada kecewa dengan prestasi beliau sebagai Ahli Parlimen. Dari isu penyertaan akar umbi hingga kepada keberkesanan membawa suara rakyat Melaka ke peringkat nasional, rekod beliau sering dipersoalkan. Bagi penyokong PAS yang selama ini menuntut kepimpinan “ulul amri” dan berteraskan nilai Islamik, pelantikan ini dianggap bercanggah dengan prinsip yang mereka sendiri laungkan.
Ironinya, ketika PPBM menampilkan wajah perpaduan dan sokongan terbuka, PAS pula dilihat berpecah suara dengan ada yang mendiamkan diri dan ada pula yang menzahirkan sindiran halus di media sosial.
Situasi ini memperlihatkan retak halus antara dua komponen utama PN di Melaka yang mungkin menjadi tanda awal kepada ketegangan politik menjelang pilihan raya akan datang.
Jika benar PN ingin menampilkan wajah kepimpinan yang diyakini rakyat, pelantikan simbolik tanpa prestasi tidak akan membawa sebarang makna.
Apa gunanya slogan “bersih dan stabil” jika di dalamnya sendiri bergolak dengan ketidaktulusan dan hipokrasi antara rakan komponen?
Realitinya, gerakan menolak Mas Ermieyati bukan dari PPBM tetapi dari PAS sendiri yang kini keliru antara prinsip dan politik kuasa malah kumpulan yang pro kepada Wan Saiful Wan Jan juga bertindak tidak menyokong Mas Ermieyati.
