![]() |
JERLUN: "Saya kenal arwah sebab kami tinggal di kampung berdekatan. Kali terakhir saya jumpa arwah baru-baru ini, ketika hendak mengambil pokok di rumahnya.
"Bila dengar ada kejadian bunuh di kampung ini, saya terkejut kerana tak pernah lagi berlaku kejadian seperti ini. Ia memang kejam," kata Mohamad Adam Iqbal.
Mohamad Adam, 18, adalah penduduk Kampung Pida 3 yang menjadi lokasi pembunuhan seorang lelaki yang ditetak adik iparnya, malam tadi.
Beliau berkata, dia hanya mengenali mangsa tetapi tidak kenal dengan pelaku jenayah terbabit.
"Kali terakhir saya bersembang dengan arwah pun baru-baru ini, dia sangat baik malah setiap petang, saya nampak dia bawa balik beberapa ekor kambing peliharaannya ke rumah.
"Saya tak kenal arwah sangat, cuma masa saya pergi minta pokok di rumahnya, dia memang baik. Ada kalanya saya nampak dia jemput anak sekolah pada tengah hari.
"Sebaik tahu kejadian ini melalui rakan, saya bergegas ke lokasi kejadian selepas Maghrib," katanya ditemui, malam tadi.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, dia nampak jasad mangsa di kawasan sawah.
Penduduk Kampung Pida 5, Khairul Irfan Mahizan, 20, pula mengatakan, kejadian itu berlaku di lokasi berhampiran rumah ibu mentua mangsa.
"Memang tak sangka kejadian seperti ini berlaku di kampung ini," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut dengan kepalanya putus ditetak adik ipar dalam satu pergaduhan di kawasan sawah di Kampung Pida 3.
Polis turut menemukan beberapa tetakan di badan mangsa dengan kepala mangsa ditemukan kira-kira satu meter daripada badan.
Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk punca dan motif kejadian itu berlaku.
Suspek berusia 38 tahun ditahan ketika masih memegang parang berukuran 30 sentimeter panjang di rumahnya yang terletak kira-kita 30 meter dari lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
