Hubungan Perikatan Nasional: Ketua Penerangan BERSATU Melaka Luah Perasaan

Melaka Digest
By -
0


Kenyataan panjang lebar yang dikeluarkan oleh Datuk Hishamuddin Abdul Karim, Ketua Bahagian BERSATU Kota Melaka nampaknya bukan sekadar “luahan peribadi” seperti yang cuba digambarkan. Ia lebih kepada jeritan halus dari dalam rumah Perikatan Nasional.


Nada beliau lembut dan beralas dengan ayat “atas kapasiti individu”, namun isi kandungannya jelas menggambarkan keresahan mendalam dalam kalangan pimpinan PPBM terhadap sikap dan langkah politik PAS mutakhir ini.

Apabila seorang Timbalan Pengerusi PN peringkat parlimen seperti Hishamuddin perlu mengingatkan PAS supaya jangan berdiam diri terhadap dakwaan-dakwaan tertentu, itu bukan lagi isyarat kecil. Itu adalah amaran bahawa hubungan dua parti tunjang PN kini berada pada paras suhu tidak sihat.

Antara baris penting dalam kenyataan Hishamuddin ialah soal “adab”, “tertib” dan “syura” istilah yang lazimnya menjadi bahasa diplomatik untuk menegur tanpa menamakan.

Namun, apabila teguran itu disasarkan kepada PAS Pusat, mesejnya jelas:

“Jangan main belakang. Jangan buat keputusan besar tanpa rujuk Presiden PPBM.”

Dalam dunia politik, apabila seseorang perlu mengingatkan rakan sekutu tentang adab dan musyawarah, itu tandanya sudah ada yang melangkaui sempadan. Apabila PAS parti yang sering melaungkan soal akhlak politik ditegur mengenai adab, itu bukan lagi sindiran lembut. Itu tamparan beradab dari rakan sendiri. 
 

 

Pendedahan mengenai kononnya wujud “perjumpaan tertutup” di sebuah lokasi digelar White House antara beberapa pemimpin PAS dan tokoh BERSATU tanpa kehadiran Presiden Muhyiddin menambah minyak ke api.

Nama Datuk Seri Hamzah Zainuddin dikaitkan sebagai calon Perdana Menteri PN hasil dari pertemuan itu merupakan satu langkah yang jelas tidak direstui secara rasmi oleh PPBM.

Jika benar, pertemuan sebegini adalah bukti bahawa PAS kini bermain politik dua muka, satu di atas pentas muafakat, satu lagi di meja makan tertutup dan Hishamuddin dengan nada sinisnya, seakan menghantar mesej keras:

“Kalau benar White House itu wujud, maka rumah muafakat PN sedang terbakar perlahan-lahan.”

Hishamuddin menggesa PAS Pusat menjelaskan pendirian namun hingga kini tiada penafian tegas daripada pihak PAS, mereka hanya senyap yang memekakkan telinga.

Dalam politik, diam bukan emas. Diam adalah tanda setuju atau sekurang-kurangnya tanda tidak mahu mengaku.

Maka benarlah persepsi bahawa PAS kini lebih mesra Hamzah daripada Muhyiddin, lebih selesa berunding di luar struktur gabungan, dan lebih ghairah mencatur calon Perdana Menteri tanpa perlu restu rakan sekutu.

Ironinya, kenyataan Hishamuddin yang disulam dengan ayat-ayat Quran dan hadis di hujungnya seolah-olah cubaan terakhir untuk memujuk diri sendiri bahawa ukhuwah masih wujud.
Namun dalam konteks politik Melaka, ukhuwah itu kelihatan semakin kabur.

PAS Melaka semakin menjauh, mengatur langkah sendiri, sementara PPBM Melaka pula semakin lantang mempersoalkan kejujuran rakan politik mereka.
Di peringkat akar umbi, kedua-duanya kini saling mencurigai dengan satu pihak melihat yang lain sebagai oportunis agama, satu lagi melihat rakan sekutu sebagai pengkhianat kuasa.

Apa pun yang cuba disembunyikan di sebalik ayat “atas kapasiti individu”, kenyataan ini sebenarnya satu bentuk protes politik yang dikawal. Ia isyarat bahawa dalam PN Melaka, hubungan antara PAS dan PPBM kini bukan lagi soal strategi bersama tetapi soal siapa mendominasi siapa.

Dalam dunia realiti politik, retak begini jarang boleh dibaiki. Ia hanya menunggu masa untuk belah sepenuhnya, terutama apabila soal calon Perdana Menteri menjadi medan perebutan kuasa.

Maka tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa Perikatan Nasional Melaka kini bukan lagi satu keluarga yang bersatu tetapi dua parti yang sedang menahan sabar, sementara menunggu siapa yang mula membuka langkah keluar.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)