ALOR GAJAH – Menjelang kurang sebulan lagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bermula, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyeru semua calon agar terus bersemangat, berdisiplin dan fokus dalam menghadapi detik penting tersebut.
Beliau berkata, seramai lebih 11,000 calon SPM di seluruh negeri Melaka dijangka menduduki peperiksaan berprestij itu yang dijadualkan bermula pada November ini.
“Saya yakin semua calon SPM mampu membanggakan negeri kita. Kurang sebulan lagi anak-anak akan menduduki peperiksaan penting ini. Maka gunakan masa yang ada sebaiknya dan jangan terpengaruh dengan perkara yang boleh melalaikan serta menjejaskan masa depan,” pesan Ab Rauf.
Ketua Menteri berucap demikian ketika menghadiri Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Melaka Bijak SPM 2025 yang berlangsung di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah, Lendu, hari ini.
Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; serta Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba.
Dalam ucapannya, Ab Rauf turut menitipkan doa dan harapan agar semua calon menempuh peperiksaan dengan tenang serta yakin kepada kemampuan diri sendiri.
“Dengan semangat, disiplin dan kesungguhan, saya percaya calon-calon SPM akan mampu mencipta kejayaan yang membanggakan, sekali gus mengharumkan nama keluarga, sekolah dan Negeri Melaka di persada dunia,” ujarnya penuh harapan.
Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Melaka Bijak SPM 2025 ini dianjurkan bagi menyuntik semangat serta memberi motivasi kepada para pelajar yang bakal menduduki SPM, selain sebagai platform menghargai usaha gigih guru dan pentadbir sekolah yang sentiasa komited dalam melahirkan generasi cemerlang Melaka.

