Pengakuan Ketua Bahagian PPBM Kota Melaka: Memang Wujud Dua Kem Dalam Parti

Melaka Digest
By -
0

Memang wujud dua kem dalam parti PPBM. Kem Presiden dan Kem Bukan Presiden. Itulah pengakuan daripada Datuk Hishamuddin Abdul Karim, Ketua Bahagian PPBM Kota Melaka di dalam facebook miliknya.


Pengakuan berani Ketua Bahagian PPBM Kota Melaka ini akhirnya memecahkan kebisuan tentang gelora dalaman parti. Namun beliau menegaskan bahawa kem yang paling bising bukanlah kem yang benar.

“Kem Presiden Kekal Tenang, Tapi Diuji Dengan Fitnah”

Menurut beliau, Kem Presiden kekal berdisiplin dan tidak melanggar keputusan parti walau digasak pelbagai tohmahan. Katanya, mereka menghormati struktur kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menolak sebarang tindakan yang mencemar imej parti.

“Kami tidak menandatangani apa-apa SD yang bertentangan dengan keputusan parti.

Kami tidak menyerang pemimpin secara terbuka. Kami masih percaya kepada prinsip perjuangan yang digariskan oleh Presiden sejak hari pertama PPBM ditubuhkan,” katanya.

Namun dalam nada kecewa, beliau mendedahkan wujud segelintir yang kini menjadikan parti sebagai pentas peribadi.

“Yang kononnya ‘orang Presiden’ itu sebenarnya penunggang politik.
Mereka berselindung di sebalik topeng kesetiaan, tapi tangan mereka yang menikam belakang.”

“Mereka Jadikan Parti Tangga, Bukan Rumah Perjuangan”


Ketua Bahagian itu tidak berselindung apabila menyifatkan tindakan segelintir pemimpin yang mendesak Presiden supaya direhatkan sebagai pengkhianatan prinsip.

“Mereka anggap parti ini tangga. Bila sudah naik ke atas, tangga itu ditendang.M ereka lupa tanpa parti, mereka bukan siapa-siapa.”

Beliau menyifatkan kelompok ini sebagai perompak rumah sendiri, yang memecah masuk, mengambil hasil, lalu menyalahkan tuan rumah.

“Parti ini dibina dengan keringat ramai, tapi ada yang rakus dengan mengaut laba dari dalam, kemudian menuduh orang lain tamak.”

“Kami Di Kota Melaka Kekal Teguh Bersama Presiden”

Dalam nada yakin, beliau menjelaskan bahawa akar umbi Kota Melaka tidak terpengaruh dengan drama politik dalaman.

Persidangan Bahagian baru-baru ini menyaksikan usul sebulat suara menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden dan calon Perdana Menteri ke-11.

“Itu suara akar umbi, bukan suara yang dibayar.

Kami tidak bergoyang walau digoncang persepsi.

Bagi kami, perjuangan ini bukan soal siapa dapat jawatan, tapi siapa sanggup berpegang pada kebenaran,” tegasnya.

Beliau turut menambah bahawa kem Presiden tidak bermusuh dengan sesiapa, namun tidak akan berdiam diri jika maruah parti terus dicemarkan oleh segelintir yang menunggang nama parti untuk kepentingan peribadi.

“Kami Gajah, Mereka Nyamuk”

Beliau menutup wawancara dengan perumpamaan tajam:

“Anjing menyalak bukit, bukit tidak runtuh. Gajah tak perlu berlawan dengan nyamuk kerana nyamuk tak pernah jadi harimau.

Tapi kalau nyamuk dah mula gigit tanpa henti, satu tepukan cukup untuk senyap semuanya.”


Katanya lagi, apa yang berlaku hari ini bukan perpecahan sebenar tetapi proses pemurnian parti.

Golongan yang berpura-pura setia akhirnya akan tersingkir dengan sendirinya.

“Yang benar akan kekal berdiri. Yang menipu akan tumbang bila topeng mereka pecah.”

“Parti ini bukan pentas badut politik,” katanya sebelum mengakhiri wawancara.
 
“Kalau ada yang mahu bermain wayang, biarlah mereka berlakon sendirian.

Kami tetap bersama Presiden, kerana prinsip perjuangan tidak boleh dijual walau ditawar dengan kuasa.”
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)