Seluruh Perlis sedang bergema dengan satu persoalan besar, benarkah suara dalam audio tular itu milik Menteri Besar, YAB Mohd Shukri Ramli?
Rakaman itu bukan sekadar gosip politik biasa. Ia dikatakan mengandungi kata-kata yang memperlekeh, malah menyentuh maruah institusi Raja dan ianya sesuatu yang amat sensitif bagi rakyat Perlis yang terkenal dengan ketaatan terhadap Raja mereka.
Rakyat tidak marah kerana politik. Mereka marah kerana maruah negeri disentuh. Bagi orang Perlis, Raja bukan sekadar simbol tetapi lambang kesetiaan dan kedaulatan negeri kecil yang sarat dengan nilai adat dan sopan. Sebab itu, bila pemimpin tertinggi negeri dikaitkan dengan kenyataan yang seolah-olah menghina, seluruh negeri terasa tergoncang.
Apabila wartawan bertanya, jawapan Menteri Besar cukup ringkas: “Saya belum dengar lagi audio itu.”
Namun persoalannya, bagaimana satu negeri sudah mendengar tetapi beliau adalah orang nombor satu negeri masih “belum sempat”? Takkan tiada seorang pun pegawai yang berani memaklumkan hal sepenting ini?
Kalau betul bukan suara beliau, sepatutnya mudah sahaja tindakannya, nafikan dengan tegas. Bangun pertahankan diri dan institusi Raja yang dikaitkan. Itu yang rakyat mahu dengar daripada seorang pemimpin berani. Tapi bila jawapan sekadar senyum tawar dan mengelak, imej yang terpancar bukanlah ketenangan tetapi keraguan dan ketakutan pada bayang sendiri.
Dalam politik, diam bukan tanda bijak kerana ia boleh menandakan itu tanda cemas. Seorang Menteri Besar seharusnya menjadi benteng pertama mempertahankan Raja, bukan menunggu suasana reda baru mahu bersuara. Kalau dalam hal sebesar ini pun jawapannya “belum dengar”, apa jaminan rakyat bahawa dalam isu lebih besar nanti beliau takkan bersembunyi di balik alasan yang sama?
Rakyat Perlis tidak perlu pemimpin yang hanya pandai beretorik di pentas ceramah tetapi kaku bila maruah negeri dipersoal. Mereka mahu pemimpin yang berani, jujur dan tegas mempertahankan kebenaran, bukan yang menunggu arahan untuk bersuara.
Kerana akhirnya, bukan fitnah yang menjatuhkan pemimpin tetapi cara dia menjawab fitnah itu.
Dan dalam kes ini, diam bukan lagi kebenaran. Diam adalah isyarat bahawa keberanian sudah hilang, dan maruah negeri kini tergantung tanpa pembela.
