PAS Melaka Bersedia “Go Solo”: Isyarat Tegas Buat PPBM

Melaka Digest
By -
0

Suasana dalam Perikatan Nasional nampaknya makin bergelora. Selepas pendedahan berani Wan Ahmad Faysal dalam podcast Zaid Ibrahim yang membuka segala “nasi lemak basi” dalam PPBM, kini datang pula isyarat tegas daripada Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man “Muhyiddin kena selesaikan dulu rumah tangga sendiri.”


Sumber dalaman PAS Melaka mendedahkan bahawa jentera parti kini sudah bersiap siaga untuk bertanding secara solo sekiranya krisis dalaman PPBM terus berlarutan tanpa penghujung. Dalam mesyuarat tertutup baru-baru ini, beberapa pemimpin negeri dikatakan sudah diberi lampu hijau untuk menilai kekuatan akar umbi dan peluang PAS jika tidak lagi bergantung pada PPBM.
 

Ini bukan lagi sekadar gertakan politik tetapi ini peringatan keras daripada PAS kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jangan biarkan pergaduhan dalaman PPBM menenggelamkan seluruh PN.

“Kalau Bersatu sibuk bergaduh sesama sendiri, jangan harap PAS mahu hanyut sekali,” kata seorang pemimpin PAS Melaka yang enggan dinamakan.

Pendedahan Wan Ahmad Faysal yang mengaitkan manipulasi dalam pemilihan ARMADA serta perebutan kuasa antara kem Hamzah Zainuddin dan kem Muhyiddin menambah minyak ke dalam api yang sudah lama menyala. PAS yang terkenal dengan gaya politik keras kini mulai hilang sabar dengan drama dalaman PPBM.

Tuan Ibrahim sendiri, dalam nada yang cukup berlapik tapi tajam, menyebut bahawa “persefahaman politik tak boleh dibina atas perpecahan dalaman.”

Terjemahannya jelas jika Bersatu terus bergolak, PAS tidak akan teragak-agak untuk membawa haluan sendiri termasuk di Melaka.

Dalam konteks Melaka, langkah “go solo” ini dilihat sebagai strategi awal untuk mengukur kekuatan sebenar PAS tanpa bayang PPBM. Beberapa cawangan PAS juga dilaporkan mula mengatur strategi pilihan raya tempatan mereka sendiri, tanpa menunggu keputusan PN pusat.

Jika keadaan ini berlarutan tidak mustahil Perikatan Nasional akan berpecah sebelum sempat ke medan PRU16.

Muhyiddin kini berada di persimpangan sama ada selamatkan PPBM daripada tenggelam dalam perebutan kuasa atau lihat PAS perlahan-lahan meninggalkan kapal yang semakin bocor.

PAS Melaka sudah bagi mesejnya:

“Kami bersedia pergi solo. Kalau Bersatu tak boleh urus parti sendiri, jangan ajak kami karam bersama.”

Inilah isyarat paling keras setakat ini bahawa kesabaran PAS ada hadnya dan perpaduan dalam PN kini hanya tinggal pada nama.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)