PAS Melaka Terima ‘Lembu Betina’ Sebagai Pemimpin Utama PN Melaka?

Melaka Digest
By -
0

Hipokrasi Terbesar Dalam Politik Islam Versi PAS


Jika baru-baru ini Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Muhammad Salman Al-Farisi membuat kenyataan panjang lebar di laman Facebooknya tentang fitrah kepimpinan lelaki, siap menggunakan analogi lembu betina dan jantan untuk menjustifikasi kenapa lelaki perlu memimpin maka rakyat tentu hairan bagaimana pula PAS Melaka boleh tunduk menerima pelantikan Mas Ermieyati Samsudin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka.

Jika dia maksudkan “lembu betina tidak boleh memimpin lembu jantan”, bagaimana pula apabila tiba giliran politik yang menentukan kuasa dan kerusi maka semua prinsip itu tiba-tiba hilang

PAS Melaka kini berhadapan dengan situasi paling memalukan kerana mereka terpaksa menelan kembali hujah mereka sendiri. Kalau benar prinsip mereka tidak berubah, kenapa tidak lantik sahaja tokoh lelaki seperti Rahim Tamby Chik jika benar jawatan itu “kuota PPBM”? Bukankah beliau juga lebih berpengalaman dan punya jaringan politik lebih luas?

Namun yang diangkat ialah Mas Ermieyati seorang wanita yang sebelum ini pernah dikritik oleh kelompok PAS sendiri kerana dianggap tidak mempunyai daya kepimpinan serta pernah gagal menunjukkan prestasi cemerlang sewaktu menjadi Timbalan Menteri.

Pelantikan Mas Ermieyati ini jelas bukan kerana kemampuan tetapi kompromi politik Muhyiddin Yassin untuk menjaga sisa-sisa pengaruh PPBM di Melaka. Ia juga memperlihatkan bagaimana PAS bersedia menutup sebelah mata terhadap “prinsip Islam” yang mereka laungkan saban hari, asalkan jawatan dan kuasa masih kekal dalam genggaman PN terutama mungkin PAS bakal memperolehi bilangan kerusi yang lebih kelak.

Di akar umbi, ramai ahli PAS Melaka sendiri dikatakan bingung dan tidak selesa dengan keputusan ini.

Di masjid mereka berkhutbah tentang kelebihan kepimpinan lelaki, di media sosial mereka menolak konsep feminisme tetapi di bilik mesyuarat mereka diam apabila wanita dijadikan ketua. Ini bukan lagi soal gender tetapi hipokrasi politik yang sudah tidak dapat diselindung.

Jika PAS benar berpegang kepada prinsip Islam yang mereka gembar-gemburkan, seharusnya mereka menolak pelantikan Mas Ermieyati secara tegas dan bukan tunduk demi kuota PPBM. Tapi jelas kini, PAS Melaka bukan lagi mempertahankan apa yang mereka ‘fatwakan’ tetapi mempertahankan kedudukan dalam PN.

“Jika PAS sendiri menerima lembu betina untuk mengetuai mereka di Melaka, apa lagi nilai Islam yang tinggal dalam perjuangan mereka?” kata penyokong PAS dari Masjid Tanah.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)