Konflik dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia kini semakin jelas, bukan lagi sekadar perbezaan pandangan tetapi sudah menjelma menjadi pertembungan dua kem kuasa yang sedang berebut arah tuju parti, Kem Presiden dan Kem Hamzah.
“Tanpa Hamzah, PPBM ibarat tubuh tanpa tulang belakang,” ujar seorang sumber dari penyokong PPBM Melaka.
Kepimpinan Hamzah sering dilihat tegas, tersusun dan berorientasikan kawalan namun inilah yang menimbulkan ketegangan dengan kumpulan yang mahu parti itu dilihat lebih “terbuka”. Lantaran itu, isu pemanggilan Hamzah ke Lembaga Disiplin dilihat sebagai langkah “politik dalaman tersusun”, bukan semata-mata soal pelanggaran tetapi cubaan melemahkan pengaruh beliau secara sistematik.
Kem Presiden dikatakan kini menumpukan usaha mempersiapkan parti menghadapi PRU16 dengan gaya lebih diplomatik, manakala Kem Hamzah masih berpegang kepada strategi politik keras dengan mempertahankan identiti asal PPBM sebagai parti yang lantang dan tidak tunduk pada tekanan luar.
Pertembungan dua pendekatan ini menjadikan suasana dalam PPBM semakin tegang, tidak stabil dan berisiko tinggi.
Akar umbi keliru siapa sebenarnya yang mengemudi Haluan, Presiden yang berkuasa secara rasmi atau Azmin sebagai Setiausaha Agung yang menguasai nadi pergerakan di lapangan?
Sekiranya kemelut ini tidak diselesaikan segera, PPBM berdepan kemungkinan pecah dalam diam, seperti sejarah parti-parti serpihan lain sebelum ini. Perpecahan ini bukan sahaja melemahkan struktur parti tetapi turut mengancam kedudukan Perikatan Nasional sebagai gabungan utama pembangkang menjelang PRU16.
Penyokong kepada bekas Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris akan memastikan PPBM Melaka kekal setia kepada Hamzah Zainuddin seperti mana majoriti ketua bahagian yang telah menandatangani surat akuan bersumpah supaya Muhyiddin berundur secara terhormat.
