Tindakan Ahli Parlimen Jasin, Haji Zulkifli
bersama NGO Muafakat Nasional Jasin menganjurkan program bantuan di beberapa
kampung sekitar Sungai Rambai kini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam
kalangan penduduk setempat.
Beberapa warga dari Kg. Tasek, Kg. Telok Gong dan Kg. Parit Gantong mendakwa program tersebut bukan sahaja bersifat ‘tunjuk muka politik’, malah bantuan yang diberikan tidak menyeluruh dan bersifat pilih kasih.
Menurut seorang penduduk, bantuan yang diagihkan hanya diberikan kepada ahli PAS, manakala ahli Bersatu serta penduduk lain diketepikan.
“Hanya ahli PAS sahaja yang terima, kami ahli Bersatu tidak dapat apa-apa,” katanya kepada Melaka Digest.
Malah, ada juga yang mempersoalkan bentuk bantuan yang diberikan.
“Itu pun ahli PAS pun mereka pilih-pilih. Beras sekampit pun kedekut, bukannya bakul makanan keperluan dapur,” luah seorang lagi penduduk dengan nada kecewa.
Penduduk mendakwa, pendekatan Haji Zulkifli menunjukkan seolah-olah program tersebut bukan benar-benar bertujuan membantu rakyat tetapi sekadar usaha kosmetik untuk menonjolkan diri di hadapan penyokong sendiri.
Tindakan sebegini, kata mereka, jelas memperlihatkan kelemahan wakil rakyat dalam memahami kehendak serta keperluan sebenar penduduk di kawasan luar bandar.
“Ahli Parlimen sepatutnya berkhidmat untuk semua, bukan hanya parti tertentu. Kalau begini caranya, kami rasa macam tiada wakil rakyat,” ujar seorang penduduk dari Kg. Telok Gong.
Pilihan raya negeri Melaka semakin hampir, penduduk berharap agar pemimpin tidak terus mempermainkan bantuan kebajikan sebagai alat politik, sebaliknya benar-benar turun padang membantu rakyat tanpa memilih bulu.
