Melaka: Wakil Rakyat PAS Kerja Ceramah Sahaja, 400 Aduan Rakyat Sendiri Terabai

Melaka Digest
By -
0

Melaka sekali lagi menjadi saksi kepada kegagalan wakil rakyat pembangkang melaksanakan tanggungjawab asas mereka kepada rakyat.


Isu ketidakcaknaan terhadap kebajikan penduduk kini kembali menghantui, kali ini masih membabitkan ADUN Rembia daripada PAS, Muhammad Jailani yang dikatakan membiarkan lebih 400 aduan rakyat di kawasannya tidak diselesaikan.

Menurut sumber dalaman, banyak aduan berkenaan melibatkan isu asas seperti jalan rosak, masalah longkang tersumbat, lampu jalan tidak berfungsi serta bantuan kebajikan yang tertangguh berbulan-bulan. 
 
Rakyat sudah menegur ADUN tersebut pada sebulan yang lalu tetapi malangnya ADUN PAS tersebut seolah tidak mengendahkan teguran keras warga Rembia dan sehingga kini tiada sebarang tindakan konkrit diambil oleh pejabat ADUN berkenaan.

Lebih mengecewakan, ramai pengadu terpaksa beralih kepada pejabat Ketua Menteri Melaka atau menghadirkan diri ke program “Wakil Rakyat Urus Rakyat” (WRUR) sebuah inisiatif kerajaan negeri yang diketuai sendiri oleh Ketua Menteri semata-mata untuk mendapatkan perhatian terhadap masalah di kawasan Rembia.

Di parlimen Batu pula Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin juga dikatakan terlalu sibuk menjelajah ke negeri lain untuk berkempen dan berceramah, sedangkan isu perumahan, kebersihan dan bantuan rakyat di kawasannya dibiarkan tanpa perhatian.

“Kami bukan minta banyak. Jalan depan rumah pun tak dibaiki sejak sebelum PRU15 lagi. Bila jumpa pegawai ADUN, asyik kata YB sibuk program luar. Tapi kami nampak YB tu rajin betul berceramah sampai ke Johor,” keluh seorang penduduk

Jika 400 aduan rakyat pun tidak mampu diuruskan, bagaimana mahu memikul tanggungjawab lebih besar kepada negeri dan negara?

Ironinya, ketika rakyat sendiri terbiar menunggu tindakan, wakil rakyat PAS itu dilihat lebih selesa bergelar ‘penceramah tetap’ pentas politik luar negeri, seolah-olah kerusi yang dimenangi hanyalah tiket untuk berucap, bukan berkhidmat.

Fenomena ini bukan kes terpencil. Rakyat akhirnya terpaksa bergantung kepada inisiatif kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah yang sepatutnya diuruskan oleh wakil rakyat mereka sendiri.

Situasi ini menimbulkan persoalan besar, apakah PAS kini lebih berminat menjadikan jawatan wakil rakyat sebagai pentas ceramah, bukan platform khidmat?

Hakikatnya, rakyat Melaka kini sudah mula sedar. Mereka tidak mahu lagi wakil yang petah berceramah tetapi bisu bila rakyat meminta tolong. Wakil rakyat bukan sekadar pandai berucap di mimbar atau dewan, tetapi mesti turun padang, mendengar, menyelesaikan, dan membela.

Akhirnya, rakyat tidak menilai siapa paling lantang di pentas ceramah tetapi siapa yang paling berani turun ke parit, menolong orang susah dan memperjuangkan hak mereka tanpa alasan.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)