Isu penyalahgunaan rumah ibadat sebagai gelanggang politik kembali mencetuskan tanda tanya di Sabah, khususnya menjelang pilihan raya negeri.
Nama yang kembali menjadi sebutan adalah Aliakbar Gulasan, Pesuruhjaya PAS Sabah merangkap calon bagi DUN Karambunai, beliau dikatakan masih berdegil menggunakan platform masjid dan surau untuk menyampaikan ceramah berunsur politik walaupun amaran telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri?
Beberapa jemaah di sekitar kawasan Karambunai mendakwa sebelum viral isu baca khutbah ini, Aliakbar kerap muncul di surau dan masjid dengan “kuliah agama” yang berbaur kempen termasuk sindiran terhadap pihak lawan.
Walaupun tidak secara terang-terangan menyebut parti, namun mesej politiknya jelas menyeru agar “umat Islam memilih pemimpin yang sehaluan dengan perjuangan Islam.”
Soalnya, adakah ini bukan kempen terselindung?
Menurut sumber dalaman, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sebenarnya telah mengeluarkan peringatan keras sejak bulan lalu agar mana-mana penceramah aktif politik tidak lagi dibenarkan menggunakan mimbar Jumaat atau kuliah masjid tanpa tauliah sah.
Arahan itu berpaksikan garis panduan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang menegaskan bahawa masjid bukan medan politik tetapi tempat penyatuan umat.
Namun, kelihatannya arahan ini masih belum ditegakkan sepenuhnya. Tiada tindakan nyata terhadap individu seperti Aliakbar yang jelas melanggar semangat larangan tersebut.
Lebih membimbangkan, masyarakat mula beranggapan seolah-olah pihak MUIS dan JHEAINS “tutup mata” apabila melibatkan tokoh tertentu daripada parti pemerintah negeri.
Jika benar begitu, ia akan memberi kesan besar terhadap kredibiliti institusi agama yang sepatutnya neutral dan bebas pengaruh politik.
Tambahan pula, Aliakbar bukanlah seorang yang mempunyai latar belakang pendidikan agama secara formal. Namun beliau sering diberi ruang dalam beberapa masjid utama, menjadikan kedudukannya sebagai tokoh politik bercampur dengan imej agamawan satu kombinasi berisiko yang boleh mengelirukan masyarakat awam.
Ramai pemerhati melihat tindakan Aliakbar ini sebagai ujian terhadap ketegasan MUIS dan JHEAINS. Jika tiada tindakan diambil, ia akan memberi mesej bahawa politik boleh terus menyusup ke ruang ibadah, menjadikan khutbah dan kuliah sebagai alat kempen parti.
Sabah tidak boleh membiarkan politik kepartian mengotorkan institusi masjid. Sudah tiba masanya pihak berkuasa agama negeri bertindak tegas tanpa pilih kasih sama ada terhadap PAS, GRS atau mana-mana pihak sekalipun.
Masjid mesti kekal suci, bukan gelanggang untuk memburu undi.
Calon BN bagi DUN Karambunai adalah Datuk Yakubah Khan merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah. Beliau juga merupakan Senator dalam Parlimen Malaysia sejak Mei 2020 dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah untuk Karambunai sejak September 2020.
