Kenyataan berbaur penghinaan yang didakwa diucapkan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, kembali mencuri perhatian apabila klip ucapannya yang membandingkan manusia dengan “anjing cerdik” tular semula di media sosial.
Dalam rakaman itu, beliau dilaporkan berkata bahawa “anjing yang cerdik kalau tuannya suruh duduk maka dia duduk, tapi kalau anjing bodoh, kita pukul pun dia tak ikut”, satu perumpamaan yang dianggap ramai sebagai tidak beradab, apatah lagi datang daripada seorang yang sering tampil membawa imej agama.
Keterlanjuran kata bukan perkara baharu bagi beliau. Mohd Amar pernah dikaitkan dengan kenyataan kontroversi mengenai pembinaan lebuh raya di Kelantan, apabila beliau mempersoalkan keperluan membina projek itu dengan alasan “jarang-jarang balik, buat apa nak buat lebuhraya.”
Kenyataan seperti ini sering menimbulkan persoalan tentang kepekaan beliau terhadap isu pembangunan dan sensitiviti rakyat.
Turut menjadi bualan dalam kalangan pemerhati politik ialah sebab sebenar beliau tidak dipilih menggantikan Datuk Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar selepas pengunduran tokoh tersebut. Ada yang berpendapat gaya komunikasi yang keras dan kurang berhemah menjadi faktor yang merencatkan peluangnya.
Dengan rekod kenyataan sedemikian, timbul persoalan lebih besar, adakah ini ciri kepimpinan yang ingin dibawa PAS ke Karambunai?
Imej, tutur kata dan kebijaksanaan dalam berkomunikasi merupakan refleksi kepada kualiti kepimpinan. Rakyat berhak menilai sama ada pendekatan sebegini selari dengan aspirasi mereka atau sebaliknya.
