DUN Karambunai: Maruah Rakyat Sabah Bukan Sebuku Roti
Ketika kempen di Karambunai semakin rancak, calon PAS, Aliakbar Gulasan, dilihat mula mengambil pendekatan serupa dengan tokoh-tokoh PAS dari Semenanjung seperti Sanusi Md Nor dan Abdul Hadi Awang. Dalam siri ceramah bersama mereka, isu lama yang sepatutnya reda termasuk kontroversi “roti Gardenia” kembali dipanaskan, seolah-olah sengaja dihidupkan untuk mencari modal politik murah.
Sanusi dan Hadi masih menunjukkan rasa tidak berpuas hati meskipun Exco PAS Kedah sendiri telah meminta maaf atas kenyataan menghina yang menyinggung hati rakyat Sabah. Daripada meredakan keadaan, kedua-duanya memilih untuk memutar naratif baharu dengan menyalahkan netizen dan pihak lain, kononnya isu kecil dibesar-besarkan. Sedangkan hakikatnya, kenyataan itu telah mencalarkan imej PAS bukan sahaja di Sabah tetapi juga di Semenanjung.
Lebih mengecewakan, Aliakbar pula mengambil langkah meremehkan insiden tersebut sebagai isu remeh. Beliau menyifatkannya tidak penting berbanding isu lain dan ini satu sikap yang jelas tidak memahami sensitiviti rakyat Sabah yang selama ini menuntut penghormatan, bukan sindiran.
Ironinya, ketika isu ini meledak, beliau turut menempelak Exco PAS Kedah yang telah membuat permohonan maaf, seolah-olah mempersendakan usaha meredakan keadaan. Tindakan berbelit-belit inilah yang menyerlahkan wajah sebenar pemimpin PAS, jenis berubah mengikut suasana, seperti cicak yang menukar warna apabila terdesak.
Rakyat Sabah bukan bahan jenaka. Rakyat Sabah bukan modal politik dan yang paling penting, maruah rakyat Sabah tidak boleh disamakan dengan sebuku roti.
Pengundi Karambunai berhak menilai dengan matang sikap pemimpin yang memandang rendah perasaan dan martabat mereka. Jika ada calon yang tidak mampu mempertahankan maruah rakyat sebelum menang, mustahil mereka akan menjunjungnya selepas memperoleh kuasa.
Karambunai perlu pemimpin yang berpendirian, bukan yang memperkecilkan martabat rakyatnya.
