Percaturan dalaman Perikatan Nasional kembali menjadi perhatian apabila sumber dalaman membayangkan bahawa Datuk Seri Dr. Radzi Jidin bakal dinamakan sebagai Ketua Pembangkang yang baharu menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Di atas kertas, pelantikan ini mungkin kelihatan seperti satu proses biasa. Namun di balik tabir, ia membawa mesej politik yang jauh lebih besar khususnya mengenai hubungan dingin antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Hamzah yang sudah lama berlegar dalam radar pemerhati politik.
Pelantikan Radzi, jika benar, memperlihatkan satu perkara iaitu Muhyiddin menggunakan sepenuhnya prerogatifnya sebagai Pengerusi PN untuk memahat semula struktur kuasa, memastikan tokoh yang lebih setia dan lebih mudah diarah naik ke posisi strategik. Hamzah, walaupun pernah dianggap “panglima utama” PN dalam perang politik pasca-PRU15, kini semakin hilang taringnya, mungkin dilihat semakin tua.
Di sinilah ironi yang paling menarik, dengan jumlah kerusi yang lebih besar dan pengaruh yang lebih kuat di blok pembangkang, PAS secara logik sepatutnya lebih layak mengisi jawatan Ketua Pembangkang. Namun hakikat bahawa nama PAS langsung tidak muncul dalam pertimbangan awal menunjukkan adanya keretakan yang cuba disorokkan daripada umum?
Pada Muktamar PAS baru-baru ini, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor melontarkan kenyataan pedas, “Duit tak ada, jentera tak ada tapi nak jadi ketua.”
Walaupun beliau tidak menyebut sesiapa secara spesifik, hampir semua pemerhati memahami ke mana arah tembakan itu disasarkan. PAS melihat dirinya sebagai parti yang lebih berpengaruh, lebih besar dan lebih berpotensi memimpin blok pembangkang. Namun PPBM terus memegang posisi utama dalam struktur PN, walaupun realitinya parti itu semakin mengecil.
Penolakan tokoh PAS untuk jawatan Ketua Pembangkang mendedahkan beberapa faktor:
1. Muhyiddin tidak bersedia menyerahkan kepimpinan PN kepada PAS, walaupun angka menyokong langkah tersebut.
2. PAS dilihat terlalu dominan dan ada kebimbangan bahawa memberikan mereka ruang lebih besar akan mengurangkan kawalan PPBM dalam gabungan.
3. Ketegangan antara Hamzah–Muhyiddin memberi kesan rantaian, membuka ruang kepada tokoh lain seperti Radzi yang lebih selesa berada dalam ‘circle’ Muhyiddin.
Jika Radzi benar-benar dilantik, mesejnya jelas bahawa PPBM tetap mahukan kuasa simbolik dan struktur politik pembangkang terus berada di bawah pengaruh mereka walaupun PAS merupakan penyumbang kekuatan terbesar dalam gabungan.
PAS tidak akan menyuarakan bantahan secara terbuka buat masa ini tetapi pergeseran halus ini pasti akan membentuk strategi mereka menjelang PRU16. Mereka kini sedar PPBM bukan sekadar rakan politik tetapi pesaing dalaman dalam perebutan pengaruh dan dominasi.
