Perikatan Nasional (PN) dijangka mengadakan satu pertemuan tertutup malam ini bagi membincangkan langkah paling kritikal untuk blok pembangkang sejak PRU15 penyingkiran Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang dan pelantikan muka baharu?
Menurut sumber dalaman, mesyuarat itu akan berlangsung di kediaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kehadiran 67 ahli Parlimen parti itu. Fokus utamanya: memuktamadkan pelantikan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, untuk menggantikan Hamzah.
Langkah ini bukan sekadar penyusunan semula dalaman tetapi isyarat jelas bahawa PN mahu menukar “kapten” setelah prestasi hambar Hamzah dilihat gagal mengangkat wibawa pembangkang di Parlimen.
Sejak beberapa bulan lalu, desas-desus ketegangan dalaman antara kem Muhyiddin dan kem Hamzah semakin kuat terutama selepas beberapa keputusan strategik PN dikatakan tidak dipersetujui sebulat suara.
Radzi, tokoh yang dilihat lebih agresif, lantang dan setia kepada Muhyiddin dipercayai dipilih bagi memberi nafas baharu kepada barisan pembangkang terutama ketika kerajaan perpaduan semakin mengukuhkan pengaruh melalui dasar popular dan strategi komunikasi yang lebih kemas.
Pelantikan Radzi, jika dimuktamadkan malam ini, akan menandakan pengakhiran era Hamzah sebagai “panglima” pembangkang serta membuka lembaran baharu bagi PN dalam usaha merapatkan saf, memulihkan imej dan mempersiapkan diri menghadapi PRU seterusnya.
Pertanyaan paling besar kini, adakah ini langkah strategik menyusun semula kekuatan Atau bukti perebutan kuasa dalaman PN yang akhirnya tidak lagi dapat disembunyikan?
