Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengambil tindakan tegas dengan memecat dua Ketua Bahagian Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (Sepang) dan Mohd Shukor Mustaffa (Puchong) berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan, dalam satu notis rasmi memaklumkan bahawa pemecatan tersebut dibuat selepas kedua-duanya didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Menurut beliau, keputusan itu diambil hasil siasatan terhadap aduan bertulis yang diterima daripada ahli parti terhadap kedua-dua individu tersebut.
“Lembaga Disiplin telah menjalankan siasatan menyeluruh berhubung aduan tersebut dan memanggil responden untuk sesi pendengaran pada 30 Oktober 2025. Keputusan dibuat selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan BERSATU,” katanya.
Dengan pemecatan itu, semua jawatan yang disandang oleh kedua-dua pemimpin tersebut dalam parti turut terlucut secara automatik dan nama mereka akan dikeluarkan daripada senarai keahlian.
Walau bagaimanapun, kedua-duanya diberi hak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari dari tarikh pemakluman.
Dalam notis sama, Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis turut disebut namun beliau hanya dikenakan teguran. Sebelum ini Abdul Razak lantang mengkritik Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dengan mendakwa beliau bersikap terlalu keras dalam menangani isu dalaman parti dan menyifatkannya sebagai “terlalu mentah”.
Pemecatan ini menyusul beberapa tindakan disiplin besar yang diumumkan pada Oktober lalu, termasuk pemecatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan. Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut digantung keahlian selama satu penggal.
Selain itu, empat lagi ahli turut dikenakan tindakan pemecatan, iaitu:
- Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya)
- Mohd Faizal Asmar (Pengerang)
- Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur)
- Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang)
