Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasport sementara bagi menjalani pemeriksaan kesihatan kanser pankreas di United Kingdom, sekali gus meluangkan masa bersama keluarganya.
Namun dalam kelulusan itu timbul satu persoalan yang menjadi perhatian: apa sebenarnya keperluan beliau untuk transit lima hingga enam hari di Dubai?
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin, ketika membenarkan permohonan tersebut, secara jelas mempersoalkan justifikasi transit panjang itu dan menegaskan bahawa tempoh satu hingga dua hari sudah memadai.
Hakim menyatakan berdasarkan afidavit sokongan, tiada alasan kukuh mengapa perjalanan Muhyiddin perlu melibatkan singgah hampir seminggu di Dubai sebelum kembali ke Malaysia.
Lebih “pelik”, tiket perjalanan tersebut telah ditempah lebih awal sebelum kebenaran diberikan mahkamah seolah-olah permohonan itu sekadar formaliti, bukan keperluan.
Hakim turut memberi amaran bahawa tindakan sedemikian membuka ruang kepada permohonan permohonan serupa pada masa hadapan.
Ini bukan kali pertama Muhyiddin memohon pasportnya dikembalikan. Sebelum ini mahkamah pernah memberi kebenaran untuk beliau menghadiri graduasi cucu, menjalani konsultasi kanser di London, mendapatkan rawatan di Singapura dan menghadiri pembukaan restoran rakan di Thailand.
Kesemuanya diluluskan tetapi kali ini, penekanan transit ke Dubai menjadi titik aneh yang menimbulkan tanda tanya.
Transit atau Ada Urusan Lain?
Peguamnya memaklumkan tujuan utama adalah rawatan di UK dan masa bersama keluarga di UK serta Madrid. Pihak pendakwaan pula hanya membantah rancangan ke Madrid kerana bimbang ia menjadi precedent untuk permohonan-permohonan lain.
Namun yang menjadi fokus bukan Madrid melainkan Dubai.
Dubai bukan destinasi rawatan. Ia juga bukan lokasi keluarga terdekat Muhyiddin. Namun, ia menjadi persinggahan paling lama dalam itinerari.
Di sini timbul persoalan awam yang tak dapat dielak, adakah transit hampir seminggu itu sekadar transit atau ada pihak tertentu yang ingin ditemui?
Ada juga yang sinis, apakah beliau mahu bertemu menantu yang pernah dikaitkan dengan kes rasuah dan kini berada di luar negara yang kebetulan dilaporkan menjadikan Dubai antara lokasi persinggahan?
Sementara itu, Muhyiddin kekal berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan RM232.5 juta melalui tiga syarikat dan seorang individu dan tiga pertuduhan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram dimasukkan ke akaun parti PPBM.
