Ketika kempen PRU DUN Sabah ke-17 semakin rancak, tular pula
pendedahan mengenai aktiviti pengagihan bakul makanan yang didakwa berlaku di
Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kibagu, Kampung Numbak, Sepanggar. Penduduk
mendakwa bahawa jentera PN/PAS yang diketuai oleh calon PAS bagi DUN
Karambunai, Aliakbar Gulasan telah mengagihkan bantuan tersebut dengan syarat
penerima perlu menyerahkan nombor kad pengenalan (IC) terlebih dahulu satu
amalan yang sering dikaitkan dengan cubaan mempengaruhi undi.
Sumber tempatan memaklumkan bahawa proses pengumpulan IC berlaku secara terbuka, menimbulkan persoalan mengenai etika serta potensi salah guna data penerima. Lebih memburukkan keadaan apabila beberapa penduduk mendakwa mereka berasa "dipaksa" untuk memberikan maklumat peribadi sebelum layak menerima bakul makanan yang bernilai kecil tetapi memberi makna besar ketika musim kempen.
Aliakbar yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah telah memuat naik gambar dan video pemberian bantuan tersebut dengan nada bangga seolah-olah ia satu pencapaian besar kempen?
Namun, tindakan tersebut dilihat amat tidak sensitif terhadap sentimen rakyat Sabah yang masih marah dengan insiden celupar oleh EXCO PAS Kedah yang menghina rakyat Sabah dalam isu “upah roti Gardenia”.
Dalam keadaan PAS sedang dihentam kerana kenyataan menghina rakyat Sabah, tindakan jentera PAS menayangkan edaran bakul makanan yang mengandungi produk Gardenia secara meluas memberi gambaran seolah-olah parti itu tidak memahami rasa kecewa masyarakat tempatan.
Persoalan utama yang timbul kini ialah sama ada pengagihan tersebut merupakan bantuan ikhlas atau cubaan memancing undi. Pihak penduduk mendakwa wujud syarat IC sebelum bantuan diberikan adalah satu elemen yang sering dianggap sebagai indikator cubaan memanipulasi sokongan pengundi.
Dalam mana-mana pilihan raya, amalan meminta IC sebagai syarat bantuan sering kali dicurigai sebagai cubaan menjejak pola undian penerima sekaligus menjejaskan integriti proses demokrasi.
Lebih menarik, kemarahan rakyat Sabah terhadap PAS masih memuncak selepas kenyataan menghina “orang Sabah-roti Gardenia” oleh ADUN PAS Kedah. Walaupun permohonan maaf telah dibuat tetapi isu tersebut terus membayangi imej PAS di Sabah yang menjadikan tindakan Aliakbar mengagihkan bakul makanan yang penuh dengan produk sama sebagai satu kesilapan komunikasi politik yang ketara.
Di media sosial, ramai pengguna menyindir bahawa tindakan itu seolah-olah “menghidupkan kembali kemarahan” rakyat Sabah terhadap PAS. Namun, apa yang pasti, DUN Karambunai kini menjadi medan ujian buat PAS Sabah dengan imej parti itu yang sedang tercalar dan dakwaan rasuah pengundi yang semakin kuat, tindakan Aliakbar menayangkan edaran bakul makanan dilihat lebih memakan diri berbanding memberi kelebihan politik.
Tular isi kandungan di dalam beg bantuan termasuk roti gardenia? Apa maksud Aliakbar?
