Dihasut Ali Pasir: Ali Tinju Mohon Maaf Kepada Ketua Menteri Melaka

Melaka Digest
By -
0

Saya, Ali Tinju, dengan rendah hati ingin memohon maaf secara terbuka kepada YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Tok Rauf) atas kenyataan dan hantaran di Facebook bertarikh 6 Julai 2025 yang telah menimbulkan fitnah dan salah faham terhadap beliau.


Saya mengakui bahawa hantaran tersebut bersumber daripada maklumat yang tidak tepat. Setelah mendapat penjelasan sebenar, saya berasa menyesal dan insaf atas tindakan saya yang telah mencemarkan nama baik Tok Rauf.

Permohonan maaf ini dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.


Saya sedar bahawa saya telah dihasut oleh pihak tidak bertanggungjawab, khususnya individu bernama Ali Pasir, yang sering mencari kesalahan Tok Rauf serta menabur kebencian terhadap beliau.

Saya sebenarnya tidak mengenali Ali Pasir, namun telah terpengaruh dengan kata-katanya yang busuk hati dan suka melaga-lagakan orang.

Saya juga difahamkan bahawa Ali Pasir mempunyai perasaan iri hati terhadap Tok Rauf sejak beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas PRU yang lalu. 
 
Malah, saya mendengar bahawa Ali Pasir pernah menyatakan hasrat untuk menentang Tok Rauf habis-habisan, termasuk melalui tindakan undang-undang.

Saya yakin bahawa Tok Rauf berada di pihak yang benar dalam isu-isu yang dibangkitkan, termasuk hal-hal kecil yang sengaja digembar-gemburkan sebagai kegagalan kerajaan negeri — seperti projek jejantas pelancongan di Bachang yang sebenarnya memberi manfaat kepada rakyat dan sektor pelancongan negeri Melaka.

Saya telah berkhidmat sebagai bekas anggota tentera yang tidak berpencen dan merupakan pengundi di DUN Klebang, Tangga Batu.
Saya sentiasa menyokong Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh gabungan BN dan PH di bawah konsep Kerajaan Madani.

Bagi memperbetulkan keadaan, saya akan membuat sesi siaran langsung (live) di Facebook bagi menjelaskan hal sebenar serta membersihkan nama baik Tok Rauf daripada segala fitnah yang telah timbul.

Saya juga sedang mengajak serta berkempen bersama rakan-rakan bekas ATM agar terus menyokong Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang ada pada hari ini.

Saya menyeru rakyat Melaka agar tidak mudah termakan hasutan daripada Ali Pasir dan kumpulannya yang suka menyalahkan kepimpinan negeri tanpa asas.
Sebaliknya, marilah kita berdiri teguh di belakang Ketua Menteri untuk bersama-sama memajukan negeri Melaka.

Saya juga berjanji untuk lebih berhati-hati dalam berkata-kata selepas ini, tidak akan menyerang sesama sendiri, dan akan terus bersama UMNO serta Kerajaan BN-PH dalam memperkukuhkan kestabilan politik negara.

Insya-Allah, saya akan membantu kempen PRN Sabah akan datang, diikuti PRN Melaka dan Johor, demi memastikan kestabilan politik terus kekal.

Akhir kata, saya semakin berumur dan menyedari bahawa hidup ini terlalu singkat untuk terus bermusuh. Saya ingin memperbaiki segala kesilapan yang telah saya lakukan.

Saya sekali lagi memohon maaf kepada YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kepada seluruh kepimpinan negeri, dan kepada rakyat Melaka atas kekhilafan saya.

Sekian, terima kasih.
 
Ali Tinju
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)