Tolak Muhyiddin: PPBM Melaka Masih ‘Tunggu dan Lihat’?

Melaka Digest
By -
0

Walaupun tekanan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin kuat selepas beberapa bahagian PPBM mula menolak kepimpinan beliau, PPBM Melaka masih belum membuat pendirian rasmi.


Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Pengerusi PN Melaka, setakat ini hanya menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam isu mendesak Muhyiddin menarik balik pemecatan Wan Saiful Wan Jan serta penggantungan Wan Ahmad Fayshal dan beberapa pemimpin lain. Namun begitu, beliau masih belum mengumumkan keputusan bagi pihak PPBM Melaka sama ada menyokong atau menolak presiden parti itu.

Menurut pengalisis politik Melaka, keputusan PPBM Melaka berada di tangan Rahim Tamby Chik dan bukannya dalam bidang kuasa Mas Ermieyati.

Ampang Mula Langkah Berani Tapi Melaka Belum Berani

Semalam, PPBM Bahagian Ampang tampil membuat keputusan tegas menarik balik kepercayaan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti. Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausahanya, Daing Mohamad Daing Makati, mereka mendesak agar Muhyiddin melepaskan jawatan secara terhormat demi memulihkan perpaduan dan keyakinan ahli terhadap masa depan parti.

“Mesyuarat Jawatankuasa PPBM Ampang pada 28 Oktober lalu telah sebulat suara bersetuju menyeru supaya pelan transisi kepimpinan dilaksanakan dengan tertib dan inklusif bagi memastikan BERSATU kekal kukuh menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, keputusan dibuat selepas mengambil kira suara akar umbi yang semakin hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan tertinggi. Bahagian itu turut menyalahkan kelemahan Muhyiddin dalam menangani pertikaian antara Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan parti yang telah menimbulkan perpecahan dalaman secara terbuka.

“Presiden gagal mengawal pertembungan kepimpinan, dan akibatnya parti kini berdepan kemerosotan keyakinan di semua peringkat,” tegas kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, lima ketua bahagian termasuk Mohd Isa Mohd Saidi dari Ampang telah dipecat berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak Muhyiddin berundur.

Tindakan keras itu bagaimanapun dilihat sebagai pencetus kepada gelombang penentangan yang lebih besar dalam parti.

Kini tumpuan beralih kepada PPBM Melaka, sama ada Mas Ermieyati dan Rahim Tamby Chik akan terus kekal dengan pendekatan ‘berhati-hati’ atau akhirnya menyertai kumpulan yang menolak Muhyiddin demi menstabilkan semula parti menjelang PRU akan datang.

Apa pun keputusannya nanti, masa untuk PPBM Melaka berdiam diri semakin suntuk dan seperti biasa Mas Ermieyati akan selamatkan dirinya terlebih dahulu.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)