PASIR MAS: Seorang rakyat Malaysia yang parah ditembak lapan kali oleh individu dikenali di rumahnya di Golok, Thailand, semalam, meninggal dunia malam tadi.
Mangsa, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang berasal dari Kampung Kepas Apam, di sini, meninggal dunia pada jam 9 malam, ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Ibu Allahyarham Mohd Fuad Fahmie iaitu Zaiton Abdul Rahman, 64, berkata dia dimaklumkan oleh menantunya, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, berhubung perkara itu pada kira-kira jam 9 malam tadi.
Katanya, dia mengetahui anaknya terkena lapan das tembakan itu pada jam 8 malam dan menerima rawatan di Hospital Sungai Golok, Thailand sebelum mendapat panggilan sekali lagi pada jam 9 malam mengatakan anaknya sudah meninggal dunia.
"Saya terkejut apabila mengetahui kejadian itu, namun reda dengan ketentuan Allah.
"Jenazah anak saya akan dibawa pulang ke sini tengah hari ini," katanya.
Terdahulu, media melaporkan, mangsa yang parah selepas ditembak seorang lelaki sejurus berlaku pertengkaran dipercayai membabitkan isu hutang, dibawa ke Hospital Sungai Golok untuk rawatan lanjut.
Suspek yang terbabit dalam kejadian itu dikatakan melarikan diri dengan meninggalkan sepucuk pistol di lokasi kejadian dan polis Thailand kini berusaha menjejakinya.
