Isu Mas Ermieyati Sokong Hamzah: Penyokong PAS Melaka Mahu Muhyiddin Tukar Pengerusi PN

Melaka Digest
By -
0

Krisis dalaman Perikatan Nasional (PN) Melaka semakin parah apabila pelantikan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Pengerusi PN Melaka menimbulkan gelombang penentangan bukan sahaja daripada akar umbi PPBM sendiri tetapi juga daripada penyokong kepimpinan PAS negeri.


Bagi ramai pemerhati politik, pelantikan ini dianggap langkah sumbang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ia bukan sekadar soal siapa dilantik tetapi persoalan kepercayaan dan kesetiaan politik dalam blok PN yang semakin retak.

Kontroversi memuncak apabila Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tampil mempertahankan Mas Ermieyati dengan kenyataan yang disifatkan banyak pihak sebagai menghina wanita apabila beliau menyebut “tidak salah jika lembu betina memimpin asalkan dia membawa ke arah kebaikan”. Begitulah lebih kurang bunyinya kata sumber.

Kenyataan itu segera menjadi bahan sindiran di media sosial, mencemarkan imej PAS sebagai parti yang kononnya memperjuangkan maruah dan kepimpinan Islam.

Namun, isu sebenar bukan sekadar kata-kata kasar itu tetapi persoalan lebih besar tentang kesetiaan Mas Ermieyati sendiri terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin.

Surat dan kenyataan terbuka yang ditandatangani oleh kumpulan penyokong Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang terdiri daripada ahli parlimen dan Ketua Bahagian PPBM telah tular sejak semalam mendesak supaya Wan Saiful Wan Jan, Wan Ahmad Fayhsal dan beberapa ketua bahagian yang dipecat dan digantung keahlian dibatalkan dengan kadar segera. Baca juga di SINI.

Apa yang mengejutkan, nama Mas Ermieyati turut tersenarai dalam kalangan mereka yang dikatakan menyokong Hamzah secara tidak langsung dan penglibatan dalam kempen mempertikaikan keputusan kepimpinan Muhyiddin.

Fakta ini menimbulkan persoalan besar, bagaimana seorang yang tidak sehaluan dengan Presiden parti boleh diangkat mengetuai PN di negeri Melaka?

Sumber dalaman PAS Melaka mendedahkan rasa tidak puas hati dan berpendapat bahawa keputusan melantik Mas Ermieyati adalah ‘campur tangan pusat’ yang tidak memahami realiti akar umbi Melaka.

Menurut sumber itu, sekurang-kurangnya, Muhyiddin perlu menimbangkan calon alternatif seperti Tan Sri Rahim Tamby Chik yang dianggap lebih berpengaruh dan berpengalaman di peringkat negeri.

Di atas kertas, PN sepatutnya tampil sebagai blok pembangkang yang kukuh menghadapi pilihan raya akan datang. Tetapi realitinya, pergeseran kuasa dan perebutan jawatan telah mencalarkan imej gabungan itu.

Bagi PAS Melaka, pelantikan Mas Ermieyati adalah “hadiah toksik”, bukan membawa perpaduan, tetapi menambah perpecahan.

Mas Ermieyati kini menjadi simbol pertaruhan politik antara kesetiaan dan kuasa, sama ada beliau mampu bertahan, itu bergantung kepada sejauh mana Muhyiddin sanggup berdepan kem Hamzah yang semakin agresif.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)