Timbul persoalan besar apabila laman rasmi Facebook PAS
Melaka memuat naik poster dan hantaran bertema “Selamatkan Malaysia”.
Ungkapan itu memang kedengaran patriotik dan suci seolah-olah parti Islam itu sedang berjuang demi menyelamatkan bangsa dan tanah air.
Namun, kempen itu nampak lebih seperti strategi pengalihan perhatian pada saat Perikatan Nasional (PN) sendiri sedang berdepan retak dalaman yang kian jelas terutama melibatkan parti terasnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Dalam beberapa minggu terakhir, PPBM dilanda krisis dalaman paling serius sejak penubuhannya. Lembaga Disiplin parti di bawah pengaruh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan mengejut:
1. Memecat Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor.
2. Menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Tindakan drastik ini bukan sahaja menggugat kesatuan dalam PPBM, malah memecah dua kem yang semakin nyata kem pro-Muhyiddin dan kem pro-Hamzah Zainuddin yang kini berfungsi seperti “blok bayangan” dalam parti.
Beberapa ahli parlimen serta ketua bahagian PPBM turut menzahirkan rasa tidak puas hati secara terbuka.
Mereka menuduh keputusan pemecatan dan penggantungan itu dibuat tanpa konsultasi menyeluruh, tidak adil serta mencerminkan rasa cemas kepimpinan tertinggi terhadap pengaruh kem Hamzah yang semakin meningkat.
Pemerhati politik melihat kemelut ini sebagai tanda Muhyiddin sedang kehilangan cengkaman kawalan politiknya dalam parti yang beliau sendiri tubuhkan.
Faksi Hamzah bukan sahaja semakin berani bersuara, malah menerima sokongan majoriti ahli parlimen PPBM dan ketua-ketua bahagian di seluruh negara.
Melaka kini menjadi cermin kecil kepada kekalutan PPBM di peringkat pusat.
Krisis ini bertambah tegang apabila Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Pengerusi PN Melaka yang baharu dilantik, secara terbuka menyatakan sokongan terhadap kem Hamzah Zainuddin bagi isu pemecatan dan penggantungan tersebut.
Di tengah kekalutan ini, kemunculan slogan “Selamatkan Malaysia” oleh PAS Melaka menimbulkan pelbagai tafsiran.
Secara strategik, PAS Melaka kelihatan mahu mengambil alih pentas naratif dengan membentuk persepsi bahawa parti mereka masih fokus kepada agenda besar, sementara PPBM sibuk menyelesaikan pertelingkahan dalaman.
Walaupun tindakan PAS Melaka ini dilihat sebagai ‘deflection framing’ iaitu menukar tumpuan media daripada kelemahan sekutu kepada mesej yang lebih universal dan mudah dicerna rakyat.
Satu lagi tafsiran ialah PAS sedang bersiap sedia berjarak dari PPBM Melaka sekiranya konflik dalaman parti itu semakin kronik menjelang PRN Sabah atau PRU16 kelak.
Mas Ermieyati kini berdiri di titik genting dan beliau hanya mempunyai dua pilihan:
1. Buat ‘U-Turn’ dan menyokong Muhyiddin dan mempertahankan keputusan disiplin parti, walaupun ia menjejaskan hubungan dengan rakan-rakan bahagian, atau
2. Berpihak kepada Hamzah Zainuddin dan mencerminkan keberanian untuk melakukan reformasi dalaman demi kelangsungan PN di Melaka.
Sumber dalaman PPBM menyebut bahawa langkah Mas Ermieyati kini diperhatikan rapat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.
Jika beliau terus menunjukkan kecenderungan menyokong kem Hamzah, tidak mustahil tindakan tatatertib juga akan menyusul terhadap beliau seperti mana yang menimpa beberapa ketua bahagian lain yang berani bersuara.
