Hakikatnya PAS Bergantung Kepada DAP

Melaka Digest
By -
0


PAS dan DAP mungkin seolah-olah berada di dua dunia politik berbeza tetapi dinamika antara keduanya saling bergantung. PAS memerlukan DAP sebagai musuh ideologi untuk mengekalkan pengaruh dan sokongan Melayu.

 

Hubungan antara PAS dan DAP sering digambarkan sebagai pertentangan ideologi yang tidak berpenghujung. Namun di sebalik retorik lantang, sentimen kebencian dan gelombang propaganda yang dikitar semula, terdapat hakikat politik yang lebih mendalam: kebergantungan strategik PAS terhadap kewujudan DAP.

 

Walaupun kedua-duanya tidak lagi berada dalam mana-mana gabungan politik, naratif PAS tentang “ancaman DAP” terus menjadi tiang utama yang menghidupkan sokongan parti itu khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

 

PAS bukan sekadar mempunyai perbezaan politik dengan DAP. Mereka menjadikan DAP sebagai simbol ancaman kepada Islam, lalu menanamkan sentimen ketakutan kolektif dalam minda penyokong?

 

Istilah keras seperti “kafir harbi” yang sentiasa tular adalah manifestasi kepada naratif yang dibentuk bertahun-tahun. Bahan-bahan propaganda seperti poster, ceramah, klip video, sebaran WhatsApp dan catatan Facebook menunjukkan bahawa kebencian ini bukan spontan  ia dijadikan bahan politik yang dirancang dan dikitar semula tanpa henti.

 

Rakyat Malaysia memiliki ratusan bukti tangkap layar daripada media sosial yang menunjukkan penyokong PAS memusuhi DAP secara ekstrem, hasil daripada naratif yang diasuh oleh kepimpinan mereka sendiri.

 

Walaupun PAS menuduh DAP sebagai parti yang “menolak Islam”, fakta sejarah politik menunjukkan sebaliknya:

 

  1. Tahun 1999–2001, PAS bersama DAP dalam gabungan pembangkang yang dipanggil Barisan Alternatif  
  2. Tahun 2008–2015 PAS bersama DAP dalam gabungan pembangkang yang dipanggil Pakatan Rakyat

 

Dua kali PAS bergabung dengan DAP; dua kali PAS menikmati limpahan sokongan di kawasan campuran dan dua kali PAS mendapat manfaat besar daripada undi bukan Melayu melalui gabungan tersebut.

 

Namun apabila kerjasama itu berakhir, PAS memilih jalan mudah dengan menyalahkan DAP.

 

Alasan popular yang sering digunakan termasuklah, “DAP menolak hudud”, “DAP tidak hormat Islam” , “DAP campur tangan” dan banyak lagi.

 

Sedangkan dalam dua era kerjasama itu, PAS turut menikmati persefahaman politik yang membolehkan mereka berkembang jauh lebih pesat berbanding bergerak solo.

 

PAS bukan sekadar parti politik; ia adalah gerakan yang membina sokongan melalui sentimen emosional dan agama. Dalam politik berasaskan ‘fear’, musuh adalah aset. Tanpa musuh, PAS kehilangan naratif.

 

DAP langsung tidak berada dalam negeri-negeri yang PAS perintah.
DAP tidak mempunyai kuasa terhadap pentadbiran PAS.
DAP tidak menggugat kuasa PAS di Kelantan, Terengganu atau Kedah.

 

Tetapi DAP tetap dijadikan sasaran utama ceramah PAS di seluruh negara.

 

Mengapa?

 

Kerana realitinya, tanpa DAP, PAS tidak boleh menghidupkan naratif “Islam sedang terancam”, PAS tidak boleh menggambarkan diri sebagai benteng Melayu dan PAS tidak mampu memobilisasi sokongan melalui retorik ancaman.

 

DAP ialah watak antagonis yang paling mudah dijual kepada penyokong dan PAS tahu, selagi wujud “musuh yang sempurna”, selagi itu sentimen sokongan boleh digerakkan.

 

DAP menjadi simbol yang membolehkan PAS mengalihkan isu kegagalan pentadbiran, menguatkan sentimen politik identiti, menyatukan sokongan melalui ‘ancaman luar’ dan menyerang musuh politik lain dengan membayangi DAP sebagai dalang.

 

PAS mendapat manfaat politik paling besar apabila DAP dilihat berpengaruh. Tanpa DAP, retorik PAS longgar, mesej melemah, dan naratif perjuangan mereka kehilangan tumpuan. Malah dengan DAP juga PAS menyerang UMNO-BN tanpa henti.

Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)