Karambunai kembali menjadi tumpuan apabila calon PAS bagi DUN tersebut berdepan tekanan hebat daripada penduduk Islam setempat susulan tindakannya membuat laporan polis berkaitan dakwaan bahawa beliau akan “membersihkan” aktiviti arak dan judi sekiranya menang pada PRN Sabah kali ini.
Tindakan melaporkan isu tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk: mengapa seorang calon PAS perlu membuat laporan polis hanya kerana dikaitkan dengan isu arak dan judi, sedangkan parti itu sering menampilkan diri sebagai pejuang dasar Islam?
Bagi sebahagian warga Karambunai, langkah tersebut dilihat seolah-olah memperlihatkan pendekatan terpilih dan bukan pendirian menyeluruh dalam membawa agenda Islam.
Seorang penduduk tempatan menyuarakan kekesalan mereka dengan nada sinis, “Bukan kah calon PAS selama ini dikenali membaca khutbah atau menjadi penceramah di masjid sekitar Keningau? Bila sentuh isu judi dan arak, kenapa tiba-tiba defensif pula?”
Tindakan itu hadir ketika kemarahan penduduk terhadap parti tersebut masih belum reda akibat kontroversi “isu roti Gardenia” yang tular sebelum ini. Laporan polis terbaharu ini sekali lagi mencetuskan reaksi negatif dan menambah rasa tidak puas hati pengundi bukan sahaja di Karambunai malah di seluruh Sabah.
Lebih mengecewakan, calon berkenaan dilihat mengubah pendirian terhadap isu “roti” tersebut, menyelaraskan kenyataannya dengan nada pimpinan pusat seperti Hadi Awang dan Sanusi yang mendakwa isu itu “kecil sahaja”. Perubahan pendirian itu menambahkan lagi persepsi bahawa calon tersebut tidak konsisten dan tidak tegas dalam membawa agenda perjuangan parti.
![]() |
| Ini perjuangan sebelum pilihanraya |
Dengan hari mengundi PRN Sabah semakin hampir, kemelut demi kemelut ini berpotensi menjejaskan keyakinan pengundi terhadap calon PAS di Karambunai khususnya dalam kalangan mereka yang menuntut ketegasan, konsistensi dan kejujuran dalam membawa imej Islam.

