Masjid dan surau seharusnya menjadi medan penyatuan umat, bukan gelanggang politik kepartian. Namun, jika tidak dipantau dengan serius maka tempat suci ini boleh dijadikan alat penyebaran agenda politik yang meracuni pemikiran jemaah.
Isu penyalahgunaan rumah ibadah oleh ahli politik bukan perkara baru. Di Sabah, tindakan Aliakbar Gulasan, calon PAS bagi DUN Karambunai telah menjadi polemik apabila beliau dilaporkan kerap naik mimbar menyampaikan khutbah Jumaat tanpa teks rasmi serta mengadakan kuliah agama di masjid dan surau sekitar kawasan tersebut.

Beliau dikatakan cenderung kepada PAS - Ini sebagai contoh MAIM wajar peka
Walaupun kelihatan seperti aktiviti dakwah,
namun kandungan dan kecenderungan politik yang diselitkan dalam ceramah itu
mencetuskan keresahan dalam kalangan jemaah dan masyarakat setempat.
Lebih membimbangkan, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dilihat kurang peka terhadap situasi ini. Laporan mengenai kecenderungan politik di mimbar dan kuliah seolah-olah tidak diambil tindakan tegas. Akibatnya, budaya berpolitik di dalam rumah ibadah mula dilihat sebagai perkara biasa malah satu keadaan yang berpotensi menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat Islam di peringkat akar umbi.
Pengajaran daripada insiden di Sabah ini wajar dijadikan peringatan penting kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Institusi agama negeri tidak boleh sekadar menjadi pemerhati apabila ada ahli politik menjadikan mimbar Jumaat, kuliah maghrib atau program masjid sebagai pentas halus untuk menyemai fahaman kepartian.
MAIM perlu bertindak proaktif dan tegas bukan menunggu aduan, tetapi memantau, menilai dan mengeluarkan garis panduan yang jelas serta mekanisme penguatkuasaan terhadap mana-mana individu yang cuba memperalatkan rumah Allah untuk kepentingan politik.
Masjid ialah tempat mendidik jiwa dan bukan medan membina pengaruh politik. Jika dibiarkan, ia bukan sahaja mengelirukan jemaah tetapi juga menjejaskan imej institusi agama itu sendiri.
Melaka mesti belajar daripada Karambunai, jangan tunggu masjid jadi gelanggang politik baru mahu bertindak.
