‘Poster Boy’ Melaka: Mas Ermieyatie Ditolak

Melaka Digest
By -
0

Desas-desus bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mas Ermieyatie Samsudin bakal dijadikan ‘Poster Boy’ gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang kini mencetuskan penentangan dalaman khususnya daripada penyokong PAS Melaka sendiri.

Menurut sumber dalaman bilik gerakan PN Melaka, cadangan tersebut menerima bantahan keras daripada akar umbi PAS atas alasan “tidak selaras dengan prinsip kepimpinan Islam mengikut fahaman PAS”. Mereka berpegang kepada pendirian bahawa wanita tidak wajar diangkat sebagai pemimpin tertinggi yang “memimpin ummah” satu hujah yang sering digunakan.

Penyokong PAS Melaka juga bersandarkan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang pernah mempertahankan analogi kontroversi “lembu betina” oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Muhammad Salman. Dalam kenyataan tersebut, wanita yang memegang tampuk kepimpinan disamakan dengan “lembu betina” yang tidak sesuai mengetuai kawanan.

Maka tidak hairanlah apabila penyokong PAS Melaka menolak keras usaha menjadikan Mas Ermieyatie sebagai wajah utama PN apatah lagi beliau disebut-sebut bakal calon Ketua Menteri sekiranya gabungan itu menang.

“Jawatan Ketua Menteri bukan boleh ditampilkan orang yang tidak mampu mentadbir negeri. Kita bukan mahu populariti, kita mahu pentadbiran berasaskan syariah dan keberkesanan,” kata seorang pimpinan PAS kawasan yang enggan dinamakan. 

"Lagi pun Mas Ermieyatie bukan dari kem Muhyiddin.."

Penolakan ini juga memperlihatkan kontras yang ketara dengan pencapaian kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sejak mengambil alih pentadbiran, Melaka mencatat rekod pelaburan luar dan dalam negeri yang terus meningkat.

Menurut data terkini Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Melaka berjaya menarik pelaburan bernilai RM9.5 bilion pada tahun 2024, meningkat hampir 40% berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, RM5.2 bilion datang daripada pelabur asing termasuk dari Jepun, Singapura dan Korea Selatan menjadikan Melaka antara negeri paling kompetitif di Semenanjung dari segi pertumbuhan industri teknologi dan pelancongan.

Selain itu, kerajaan negeri turut melaksanakan pelan “Melaka Maju Digital 2030” yang menyasarkan peningkatan ekonomi digital dan pelancongan pintar termasuk pembangunan Zon Ekonomi Digital Durian Tunggal serta Projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) yang kini menjadi tumpuan pelabur logistik serantau.

Justeru PN Melaka perlu tampilkan ‘wajah yang layak’ dan bukannya hanya bersandarkan dengan jawatan Pengerusi PN negeri sahaja, jelas sumber lagi.

Penolakan PAS terhadap Mas Ermieyatie ini bukan sekadar soal gender tetapi menggambarkan krisis identiti yang semakin menjerat PN Melaka. Sementara PPBM cuba menonjolkan wajah moderat dan inklusif melalui Mas Ermieyatie, PAS pula kekal dengan naratif konservatif yang rigid.

Situasi ini menunjukkan jurang ideologi yang makin melebar dalam PN antara kehendak kepimpinan pusat yang mahu kelihatan progresif dengan tuntutan akar umbi PAS yang berpegang pada tafsiran tradisional agama.

“PAS Melaka hanya ada satu calon sahaja iaitu Pesuruhjaya PAS Melaka, Hj Zulkifli Ismail yang mempunyai pengetahuan agama mengatasi Mas Ermieyati” kata penyokong PAS Melaka tetapi penyokong PPBM Melaka pula berpandangan Hj Zulkifli tidak mempunyai ‘merit’ untuk menjadi Ketua Menteri Melaka selain hanya layak membaca qunut nazilah sahaja.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)