Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Melaka menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak tertentu yang dilihat cuba menjatuhkan maruah pemimpin parti sendiri melalui pendedahan berunsur peribadi di media sosial.
Terdahulu, tular mesej yang dikatakan milik isteri kepada seorang ahli Parlimen PPBM, dipercayai disebarkan melalui aplikasi WhatsApp. Tidak dapat dipastikan motif sebenar penyebaran mesej tersebut, namun ia telah mencetuskan pelbagai spekulasi dan persepsi negatif terhadap kepimpinan parti.
Turut tersebar ialah rakaman video lama yang memaparkan pemimpin sama didakwa menerima hadiah daripada kumpulan GISB Holdings di pejabat beliau ketika masih memegang jawatan menteri. Kumpulan itu kini sedang berdepan prosiding mahkamah atas isu-isu tertentu, sekali gus menambah sensasi kepada spekulasi berkenaan.
Menurut sumber dalaman, PPBM Melaka memandang serius tindakan ‘melondeh’ pemimpin sendiri, khususnya melibatkan isu peribadi dan integriti individu yang tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Pertelingkahan dalaman tidak seharusnya menjadi serangan peribadi. Kita boleh berbeza pandangan tetapi jangan menimbulkan persepsi jahat yang boleh memecahbelahkan parti,” kata sumber itu ketika dihubungi.
Antara nama yang disebut dalam kemelut ini ialah Datuk Saifuddin Abdullah yang diketahui sebagai penyokong kuat Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Beliau difahamkan telah dipanggil oleh Jawatankuasa Disiplin PPBM selepas secara terbuka mendesak agar Muhyiddin berundur dan memberi laluan kepada Hamzah untuk mengambil alih kepimpinan tertinggi parti.
Tindakan Saifuddin itu dilihat sebagai kemuncak kepada ketegangan dua blok utama dalam PPBM, satu yang masih setia kepada Muhyiddin dan satu lagi yang semakin lantang menyokong Hamzah sebagai penerus kepimpinan.
Sebelum ini Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris, dipecat daripada parti bersama Wan Saiful Wan Jan baru-baru ini.
Pemecatan itu dianggap sebagai isyarat bahawa parti kini sedang melalui proses ‘pembersihan dalaman’ yang menyentuh bukan sahaja soal disiplin tetapi juga kesetiaan terhadap kepimpinan pusat.
PPBM Melaka menegaskan bahawa keutamaan sekarang bukanlah perbalahan peribadi tetapi usaha memperkukuh semula kepercayaan akar umbi menjelang pilihan raya akan datang. Malah Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Mas Ermieyatie secara terbuka tidak bersetuju dengan tindakan memecat Wan Saiful dan beberapa Ketua Bahagian PPBM termasuk menggantung keahlian ahli parlimen Machang, Wan Ahmad Feysal. Baca di SINI

