PPBM Melaka: Kumpulan Ali Pasir Berpecah

Melaka Digest
By -
0

Pergolakan dalaman PPBM Melaka semakin terserlah apabila kumpulan yang digelar sebagai “Geng Ali Pasir” dilihat berpecah selepas pendedahan berani oleh aktivis kontroversi, Ali Tinju.



Segalanya bermula apabila Ali Tinju tampil memohon maaf secara terbuka kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sambil mengakui wujud rekayasa fitnah yang dimainkan oleh geng tersebut bagi menjatuhkan reputasi pemimpin negeri itu. Tindakan itu sekali gus menimbulkan gelombang tidak puas hati dalam kem Ali Pasir dan mendedahkan perpecahan yang selama ini cuba disembunyikan.


Lebih menarik, pengakuan terbuka Chegu Bard yang suatu ketika menjadi jurucakap lantang kumpulan berkenaan turut memperkukuh gambaran bahawa kumpulan itu kini tinggal sejarah. 
 
Chegu Bard dilihat meluahkan rasa kecewa apabila dirinya diabaikan sebaik sahaja dilepaskan daripada tuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong. Dalam nada sinis, beliau menyindir bahawa dirinya kini “bersendirian” tanpa sokongan rakan-rakan yang dulunya gah berdiri bersama di pentas politik.

Kekecewaan Chegu Bard dikatakan semakin mendalam apabila pimpinan tertinggi PPBM pusat turut meminggirkan beliau. Malah ada pemimpin PPBM Pusat menggelarkannya sebagai “Pengemis QR”.

Sumber dalaman mendedahkan bahawa hubungan dingin antara Chegu Bard dan Ali Pasir mula tercetus selepas kes rasuah Ali Pasir mula ke mahkamah. Chegu Bard dikatakan enggan dikaitkan dengan kes tersebut dan sejak itu kedua-duanya membawa haluan berbeza.

Kini, pemerhati politik Melaka melihat bahawa Ali Pasir sedang beralih tumpuan dengan menggunakan individu lain, termasuk Chegu Candra untuk mencetuskan isu baharu dan kali ini menjadikan projek Jejantas Tun Teja sebagai bahan sensasi. Namun strategi itu dianggap “ulang siar drama lama”, sekadar mencari ruang publisiti setelah kehabisan modal politik.

Bagi ramai pemerhati, episod ini hanya mengesahkan pepatah lama, apabila madu sudah habis, sepah dibuang. Chegu Bard yang pernah menjadi senjata utama kini sekadar watak sisa dalam percaturan politik kelompok yang semakin hilang arah.

Dengan perpecahan ini, jelas bahawa Perikatan Nasional Melaka sedang berdepan krisis kepercayaan dalaman dan “kumpulan Ali Pasir” kini hanya tinggal nama.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)