Ketika sesetengah pihak di blok pembangkang sibuk memainkan isu remeh berkaitan politik dalaman dan persepsi di setiap ceramah mereka dengan menampilkan penceramah dari luar Melaka, hakikat yang sering terlepas daripada radar mereka ialah prestasi ekonomi negeri Melaka yang berada dalam kelompok Top-3 di Malaysia dari segi Prestasi Hasil Pendapatan Negeri.
Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan ekonomi mikro di peringkat negeri, malah menunjukkan keberkesanan strategi fiskal dan pengurusan kewangan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan semasa.
Menurut laporan terkini prestasi hasil negeri, Melaka berjaya mencatatkan kadar kutipan hasil yang tinggi berbanding sasaran tahunan, sekaligus menempatkan negeri ini antara tiga negeri terbaik di Malaysia. Kejayaan ini menonjolkan keupayaan Melaka mengurus hasil melalui pelbagai sumber seperti pelancongan, pelaburan industri, cukai tanah, serta hasil daripada entiti GLC negeri yang semakin mampan.
Lebih menarik, pencapaian ini berlaku dalam suasana ekonomi global yang mencabar pasca pandemik dengan ketidaktentuan pasaran dan tekanan inflasi. Ia menandakan kecekapan pentadbiran fiskal serta keberhasilan dasar ekonomi tempatan yang tidak hanya bergantung kepada dana persekutuan.
Antara faktor utama yang melonjakkan hasil Melaka termasuk dasar pelaburan yang lebih terbuka dan mesra pelabur, khususnya dalam sektor teknologi hijau, logistik, dan pelancongan berasaskan warisan.
Kerajaan negeri turut memperkukuh sistem kutipan hasil melalui digitalisasi, pengurusan aset negeri secara telus dan penyusunan semula beberapa agensi yang sebelum ini menunjukkan prestasi lemah.
Pendekatan ini menzahirkan prinsip good governance, bahawa setiap ringgit hasil negeri mesti disalurkan dengan efisien dan memberi impak berganda kepada rakyat.
Ironinya, pembangkang di Melaka jarang atau hampir tidak pernah menjelaskan kepada rakyat tentang fakta prestasi ekonomi negeri. Sebaliknya, mereka lebih cenderung menyerang isu politik sempit yang tidak berasaskan data. Paling jelik adalah membawa ceramah dari luar yang terkenal dengan gelaran ‘Pengemis QR code’ untuk bercerita tentang ekonomi Melaka?
Jika gagal mengurus diri sendiri, bagaiman mampu menjelaskan prestasi ekonomi negeri?
Ketika kerajaan negeri menumpukan usaha menstabilkan pendapatan, memperkukuh infrastruktur ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan, pembangkang masih terkunci dalam retorik lama tanpa sebarang cadangan konkrit tentang bagaimana Melaka boleh bergerak ke tahap lebih tinggi.
Ketiadaan wacana ekonomi yang sihat daripada pembangkang sebenarnya merugikan rakyat, kerana ia menutup ruang perbahasan dasar yang konstruktif.
Melaka kini berdiri sebagai model negeri kecil dengan impak besar dalam hasil pendapatan. Dengan saiz geografi yang terhad, kerajaan negeri berjaya memaksimumkan potensi setiap sektor daripada pelancongan warisan, perindustrian, sehingga sektor perkhidmatan berteknologi tinggi.
Namun, untuk memastikan momentum ini berterusan, tumpuan harus diberikan kepada pembangunan sumber manusia tempatan, memperkasa ekonomi digital serta memperluas kerjasama strategik dengan sektor swasta dan pemain industri.
Prestasi hasil pendapatan Melaka berada dalam Top-3 bukan satu kebetulan, ia adalah hasil daripada pengurusan yang berdisiplin, perancangan berasaskan data, dan keazaman politik untuk menolak gaya pentadbiran yang boros dan tidak berfokus.
Sementara pembangkang terus mencari isu sensasi, rakyat sebenarnya menilai berdasarkan fakta dan faktanya jelas baha Melaka sedang bergerak ke hadapan dengan ekonomi yang semakin mampan dan sistem kewangan negeri yang menjadi contoh kepada banyak negeri lain.
