Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang berakhir semalam memaparkan satu lagi episod kejahilan politik pembangkang.
Soalan-soalan yang dibawa seolah-olah ADUN pembangkang tidak pernah menjejak atau memahami Melaka atau sengaja bertanya soalan dangkal hanya untuk menuntut elaun sidang.
Antaranya adalah apabila ADUN Bemban, ketua pembangkang negeri telah menimbulkan persoalan mengenai pelancongan Melaka yang begitu cetek sehingga memaksa YB Datuk Wira Abdul Razak bin Haji Abdul Rahman, EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan, menjawab dengan nada sinis tapi penuh fakta.
Setiap usaha kerajaan negeri dijelaskan secara terperinci, menampakkan betapa pembangkang hanya bermain-main dengan fakta tanpa ‘homework’.
Kelihatan jelas bahawa pembangkang Melaka lebih gemar mempertontonkan ketidakfahaman mereka daripada memperjuangkan isu sebenar rakyat. Soalan ‘bodoh’ seperti ini bukan sahaja merendahkan kredibiliti mereka tetapi juga memberi peluang kepada kerajaan negeri menonjolkan keberkesanan dan kejayaan sebenar dalam membangunkan pelancongan, warisan, dan kebudayaan.
Sidang DUN seharusnya menjadi medan memperjuangkan kepentingan rakyat, bukan platform untuk menonjolkan ketidakcekapan. Jika terus bersikap sambil lewa, pembangkang Melaka hanya membuktikan bahawa mereka seperti ‘hilang di negeri sendiri’ dan tidak tahu isu sebenar, tidak memahami fakta serta hanya menimbulkan persepsi negatif di mata rakyat.
Melaka memerlukan wakil rakyat yang tahu kerja mereka, memahami realiti negeri dan mampu membawa perubahan, bukan sekadar mengulang soalan kosong yang mengundang ketawa dan sinisan.
Sidang DUN adalah tempat membina, bukan pentas untuk mempamerkan ketidakfahaman.
