Tindakan saya turun ke jalan bukan lahir daripada emosi tetapi daripada sebuah prinsip jika saya tidak mampu mempertahankan maruah diri dan keluarga saya, bagaimana mungkin saya mampu mempertahankan maruah rakyat yang saya wakili?
Perjalanan protes ini bukan sekadar simbolik tetapi satu manifestasi kepincangan dalaman yang terlalu lama disapu ke bawah karpet.
Beberapa hari sebelum saya ditahan di Johor atas dakwaan Akta Hasutan, dua media antarabangsa iaitu Bloomberg dan Singapore Business Times yang menerbitkan laporan mengenai projek “foreign city” di Johor yang mengaitkannya dengan rancangan pembukaan kasino. Laporan itu jelas berbaur penghinaan terhadap institusi Raja Melayu.
Saya hanya berkongsi laporan itu di Facebook dengan gesaan supaya kerajaan Malaysia mengambil tindakan terhadap media berkenaan, namun anehnya saya pula yang digari. Lebih pelik, pada saat itu Perdana Menteri menghadiri sebuah forum tajaan Bloomberg di luar negara. Dua hari selepas laporan itu diterbitkan, saya ditahan.
Saat saya berjuang mempertahankan maruah, saya dihina tanpa belas kasihan dan bukan sahaja saya tetapi keluarga saya turut menerima cercaan. Namun saya memilih untuk bangkit. Diam bermakna mengalah dan saya tidak dilahirkan untuk tunduk pada ketidakadilan.
Lebih menyedihkan, aduan-aduan rasmi yang saya dan bahagian kemukakan kepada lembaga disiplin langsung tidak dipedulikan. Apabila saya menegur, saya pula yang ditohmah. Ketika saya mengemukakan bukti tentang amalan pemberian wang tunai ratusan ribu ringgit dalam satu mesyuarat peringkat pusat (alleged), pimpinan parti memilih untuk berpura-pura tidak tahu. Tidak cukup dengan itu, saya pula difitnah seolah-olah menjadi punca keretakan parti.
Apabila saya memilih untuk turun melakukan protes, ada sahabat yang datang memberi sokongan tetapi mereka pula diugut untuk dipecat. Sebuah parti tidak mungkin terbina atas budaya ugutan dan ketakutan. Perjuangan memerlukan keberanian, bukan kepatuhan buta.
Dalam tempoh dua hari ini, saya ditawarkan ratusan ribu ringgit hanya untuk menghentikan protes ini. Saya menolaknya. Jika saya menerima, apa beza saya dengan mereka yang sedang saya lawan? Wang itu, jika benar diperlukan, lebih layak pergi kepada rakyat yang sedang bergelut setiap hari.
Masalah dalaman parti sepatutnya diselesaikan secara tertutup. Namun ironinya, saya yang membuat aduan secara tertib pula diserang dan dituduh sabotaj parti secara terbuka. Ketika saya turun berjuang di Sabah, kelompok pengampu sibuk masuk ke bahagian saya, menjalankan program untuk memecahbelahkan kepimpinan, menghasut dan memancing kembali ketua-ketua cawangan yang gagal bermesyuarat untuk menyokong mereka.
Lebih membimbangkan, mereka turut mencari bekas pimpinan yang pernah terlibat dengan jenayah dan penyalahgunaan dadah semata-mata untuk melonjakkan agenda mereka.
Apa yang berlaku bukan lagi soal politik dalaman kerana ini soal integriti, prinsip dan masa depan sebuah parti yang kononnya ingin membawa perubahan. Saya memilih jalan yang paling sukar tetapi inilah jalan yang benar. Dan saya akan terus melangkah selagi kebenaran masih dipijak oleh mereka yang takut hilang kuasa.
Chegu Bard
