Keputusan PRN Sabah 2025 membuka satu lagi lembaran penting dalam memahami kecenderungan politik rakyat negeri itu, khususnya terhadap parti-parti dari Semenanjung. Di sebalik persaingan sengit antara blok-blok politik tempatan, angka undi popular yang diterima parti-parti nasional memberikan gambaran jelas tentang sentimen sebenar pengundi Sabah dan data itu menunjukkan Barisan Nasional (BN) muncul sebagai pilihan utama.
Dengan 144,584 undi popular, BN bukan sahaja mendahului Pakatan Harapan (75,938 undi) dan Perikatan Nasional (41,584 undi), malah mengesahkan bahawa jenama politik Barisan Nasional masih mempunyai akar yang kuat dan kepercayaan yang stabil dalam kalangan rakyat Sabah.
Beberapa faktor utama menjelaskan mengapa BN terus menjadi parti dari Semenanjung yang paling dekat di hati pengundi Sabah:
1. Rangkaian Warisan Politik Yang Konsisten
Berbanding parti-parti nasional lain yang baru bertapak di Sabah, BN telah berdekad-dekad berada di negeri ini melalui UMNO dan komponen-komponen lain. Rangkaian yang lama bertapak memberi kelebihan dari segi struktur, hubungan akar umbi dan kepercayaan yang telah terbina secara turun-temurun.
2. Persepsi Stabiliti dan Kompetensi
Dalam suasana politik Sabah yang sering berubah, pengundi melihat BN sebagai simbol kestabilan pentadbiran. Walaupun BN menghadapi cabaran di peringkat nasional, naratif stabiliti dan pengalaman masih menjadi nilai tambah kepada mereka dalam konteks Sabah.
3. Jentera Akar Umbi Yang Masih Dominan
Penyampaian mesej politik BN sering lebih teratur, tersusun dan dekat dengan komuniti. Kehadiran mereka di kampung, daerah pedalaman dan kawasan majoriti Bumiputera membantu mengekalkan keyakinan rakyat bahawa BN lebih memahami realiti sosioekonomi Sabah.
Walaupun Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional turut mencatatkan undi popular, jarak angka tersebut memberikan mesej jelas bahawa PH masih dianggap parti berasaskan isu nasional dengan kekuatan tertumpu di kawasan bandar. Keterikatannya dengan imej “semenanjung-centric” menghadkan sokongan di banyak kawasan luar bandar Sabah.
PN pula gagal mencipta gelombang besar walaupun bergantung pada naratif agama dan perubahan strategi yang tidak sepenuhnya sebati dengan demografi dan keutamaan politik rakyat Sabah.
Angka undi popular adalah refleksi jujur mood politik rakyat. Pilihan yang diberikan kepada BN membuktikan beberapa perkara penting iaitu rakyat Sabah masih menilai berdasarkan rekod dan keupayaan, bukan semata-mata sentimen anti-parti Semenanjung malah BN mempunyai asas legitimasi yang kukuh untuk kekal relevan di Sabah, terutama dalam pembentukan kerajaan negeri akan datang.
Dalam landskap politik yang penuh dinamik, fakta undi popular menunjukkan bahawa BN kekal sebagai parti nasional paling dipercayai dan paling dekat di hati rakyat Sabah. Dominasi mereka dalam undi popular bukan hanya angka tetapi cerminan hubungan politik yang telah dibina sekian lama dengan hubungan yang sehingga hari ini masih diterjemahkan ke dalam sokongan sebenar di peti undi.
BN mungkin parti Semenanjung tetapi dalam PRN Sabah 2025, rakyat sendiri menghantar mesej jelas bahawa merekalah “Parti Malaya” yang paling dipercayai pengundi Sabah.
